KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil semua Ahli Parlimen dan individu yang terlibat dalam perhimpunan berhampiran Dataran Merdeka di sini hari ini.
Difahamkan, kesemua mereka akan dirakam percakapan sebelum pihak polis menyelesaikan kertas siasatan yang akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, setakat ini, pihaknya telah menerima dua laporan polis yang dilakukan di sekitar Kuala Lumpur berhubung perhimpunan terbabit.
“Pada awalnya, kita menerima maklumat mengenai perancangan beberapa individu yang ingin menganjurkan perhimpunan di bangunan Parlimen namun hasil semakan dari Parlimen mendapati tiada sebarang perhimpunan akan diadakan.
“Susulan itu, Polis Kuala Lumpur telah membuat persediaan menutup dan melencongkan sebahagian jalan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur terutama menuju ke bangunan Parlimen,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Azmi memberitahu, seramai 500 pegawai dan anggota polis terbabit dalam mengawal pergerakan individu terbabit yang merancang berhimpun di laluan ke bangunan Parlimen sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.
“Kita juga sedang menyiasat semua individu yang terbabit dalam perhimpunan itu dengan memanggil mereka bagi membantu siasatan.
“Siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Pemberitahuan Perhimpunan); Seksyen 12 A, Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988; Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, 2021 (Larangan Berarak) dan Peraturan 10 peraturan sama iaitu (Kawalan Berhimpun),” jelasnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929