TOKYO – Pemain pilihan ke-9, Belinda Bencic mengakui tidak percaya apabila berjaya meraih pingat emas acara perseorangan wanita selepas menewaskan wakil Republik Czech, Marketa Vondrousova di pentas final temasya Sukan Olimpik 2020 kelmarin.
Pada aksi di Pusat Tenis Ariake itu, Bencic yang mewakili kontinjen Switzerland terpaksa bermandi peluh sebelum menewaskan Vondrousova dengan kemenangan tiga set 7-5, 2-6, 6-3.
Kata Bencic, kejayaan menyumbangkan pingat emas temasya Sukan Olimpik adalah pengiktirafan terbesar buat mana-mana atlet, malah ia lebih baik berbanding bergelar juara bertaraf Grand Slam.
“Secara jujur, saya bagaikan tidak percaya apabila berjaya meraih pingat emas kerana mendapat tentangan yang cukup sengit daripada Vondrousova. Namun, saya beraksi dengan bersungguh-sungguh dan anggap seperti perlawanan terakhir dalam karier.
“Apa yang pasti, kejayaan ini sudah tentu bakal menjadi terbesar dalam karier saya kerana meraih pingat dalam acara perseorangan bukan mudah terutama apabila temasya ini hanya berlangsung empat tahun sekali,” katanya.
Sementara itu, pemain tenis No. 4 dunia, Elina Svitolina melengkapkan kedudukan podium selepas meraih pingat gangsa apabila menewaskan wakil Kazakhstan, Elena Rybakina, 1-6, 7-6, 6-4 pada aksi penentuan tempat ketiga.
“Pada awalnya saya memang mensasarkan pingat emas, namun terkandas di peringkat separuh akhir. Namun, saya tidak mahu kekalahan itu merencatkan momentum saya dan berazam untuk berikan yang terbaik untuk meraih pingat gangsa.,” kata Svitolina. – AGENSI