PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan semua sesi mesyuarat termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen ditangguhkan sementara waktu untuk tempoh dua minggu bermula 29 Julai lalu.
Penangguhan sementara itu turut meliputi pembentangan yang dirancang di Parlimen atau yang membabitkan individu berada di bangunan berkenaan pada 26 hingga 29 Julai lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, cadangan KKM itu mengambil kira hasil penilaian risiko semasa dan bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19 dari berlaku di Parlimen.
“Hasil penilaian risiko yang dilakukan selepas mengambil kira faktor epidemiologi serta persekitaran mendapati sidang Parlimen adalah perhimpunan berisiko tinggi untuk berlaku penularan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, salah satu faktor epidemiologi menunjukkan enam kes iaitu satu satu kes pertama dan lima kes pengesahan lanjut dengan ujian RT PCR adalah dengan kadar kebolehjangkitan tinggi dan berpotensi menjadi superspreader.
Selain itu, katanya, ramai dalam kalangan yang hadir ke Sidang Mesyuarat Khas Parlimen dalam kategori warga emas dan kemungkinan mempunyai faktor komorbid yang meningkatkan risiko jangkitan.
“Faktor lain ialah tidak semua individu yang hadir di Parlimen telah mendapat vaksinasi Covid-19 yang lengkap” jelasnya.
Beliau berkata, penilaian risiko kejadian jangkitan Covid-19 di Parlimen akan dinilai semula dari semasa ke semasa. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929