NEW DELHI, INDIA – Seorang pakar memberi amaran bahawa pesakit Covid-19 akan mengalami masalah keguguran rambut beberapa bulan selepas dijangkiti, lapor akhbar The Sun, baru-baru ini.
Keadaan tersebut dinamakan Telogen Effluvium (TE), iaitu satu keadaan di mana individu mengalami keguguran rambut sementara dan kebiasannya disebabkan oleh tekanan.
Ini berlaku kerana apabila seseorang itu dijangkiti Covid-19, badan mereka akan mengalami tekanan yang disebabkan oleh simptom-simptom virus dan fizikal seperti batuk atau hilang deria bau serta rasa.
Menurut perunding dalam pembedahan kosmetik dan pembedahan plastik di Hospital Indraprastha Apollo, Dr. Shahin Nooreyezdan, disebabkan pesakit Covid-19 mengalami kesukaran untuk makan, ia membuatkan simpanan nutrien mereka berkurang, sekali gus menyebabkan keguguran rambut.
“Kami melihat terdapat peningkatan dua kali ganda dalam jumlah pesakit yang mengadu masalah berkaitan dengan keguguran rambut.
“Penyumbang utama kepada masalah tersebut adalah mereka pernah dijangkiti Covid-19.
“Kekurangan yang disebabkan oleh pengurangan pengambilan nutrien, perubahan berat badan secara mendadak, gangguan hormon dan penurunan kadar vitamin D serta B12 adalah antara penyebab utama kepada keguguran rambut selepas dijangkiti Covid-19,” katanya.
Tambah Shahin, simptom keguguran rambut itu boleh berlanjutan selama tiga bulan.
Sementara itu, perunding di Jabatan Dermatologi Institut Penyelidikan Peringatan Fortis di India, Sachin Dhawan memberitahu, individu yang telah sembuh daripada Covid-19 perlu memberi perhatian terhadap diet mereka.
“Ini adalah untuk menambah mana-mana vitamin dan mineral yang telah hilang.
“Jadi, mereka disarankan memakan diet bernutrisi yang tinggi vitamin dan zat besi serta menambah biotin dan asid amino.
“Ini kerana kekurangan zat besi akan mempercepat aktiviti keguguran rambut,” katanya. – AGENSI