KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditemui rentung selepas kereta dipandunya melanggar tiang lampu sebelum terbakar di Jalan Tunku Abdul Halim menghala ke Tol Duta di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Niraj berusia 30 tahun memandu kereta jenis Fiat Bravo disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Zainal Abidin Yusof, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan menghala ke pusat bandar sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan dan melanggar tiang lampu.
“Kenderaan mangsa juga telah masuk ke laluan bertentangan sebelum terbakar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian akibat rentung di dalam kereta.
“Anggota bomba sempat memadamkan kebakaran namun tidak dapat menyelamatkan mangsa.
“Mayat mangsa telah dibawa ke forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat. Hasil ujian juga mendapati, mangsa positif Covid-19,” jelasnya.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929