BERA – Penangguhan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat dibuat atas nasihat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah selepas penilaian risiko berikutan peningkatan kes dikesan di Parlimen sejak Isnin lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga petang Khamis lalu lebih 70 kes positif Covid-19 dikesan hasil saringan dilakukan membabitkan Ahli Parlimen dan pengiring mereka yang juga kontak rapat.
“Kalau di tempat lain, jika jumlah kes (positif) dikesan melebihi 40, kita sudah arahkan (pelaksanaan) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Jadi inilah yang orang marah, seolah-olah kami ini ‘kayangan’ ada imuniti dan kekebalan,”katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada wakil penduduk dari lima kampung di perkarangan Masjid Al-Muttaqin, di sini, hari ini.
Menurut Ismail Sabri,sebelum Mesyuarat Khas (Dewan Rakyat) bermula, sudah diadakan mesyuarat dihadiri Speaker dan wakil pembangkang bagi membincangkan pembukaan semula parlimen.
Katanya, ketika mesyuarat itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah sudah memberikan dua cadangan iaitu menangguhkan persidangan dan mengurangkan masa perbahasan serta jumlah kehadiran ahli Parlimen dikurangkan.
“Namun, cadangan itu tidak diendahkan dan persidangan diteruskan yang akhirnya menyaksikan peningkatan kes dikesan. Penangguhan (Mesyuarat Khas Dewan Rakyat) ini berdasarkan fakta sains dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia,”ujarnya.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929