fbpx

Sesalan, cinta, dosa Alyah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALYAH

JIKA diikutkan perbincangan awal, sesi temu bual bersama penyanyi versatil ini sepatutnya dilunaskan pada petang Rabu lalu. Namun dek gastrik yang tiba-tiba menyerang pada hari sama, pertemuan tersebut terpaksa dianjak pada keesokan harinya.

Ungkapan maaf dalam bicara bersulam tawa ceria yang kedengaran dalam talian keesokan harinya jelas menggambarkan anak jati Gelang Patah, Johor itu sudah kembali sihat seperti sedia kala.

Tidak terlalu banyak cerita baharu boleh berbutir dari bibir Datin Alyah buat tatapan pembaca pada kali ini, namun perkongsiannya lebih menjurus tentang ‘hijrah’ yang sedang dikemudikan kini.

Menurut Alyah, perubahan khususnya dari segi penampilan dan cara hidup yang berlaku dalam diri membuatkan jiwanya lebih tenang dan bahagia menjalani liku-liku kehidupan.

“Ya jujur saya lebih tenang dan suka dengan hidup yang seperti sekarang ini. Jauh lebih tenang, jauh lebih bahagia dan rasa lebih dekat dengan Yang Maha Pencipta.

ALYAH berjanji untuk tidak lagi merakamkan lagu-lagu cinta dan tangkap leleh sebaliknya beralih ke arah muzik kerohanian yang menenangkan jiwa.

“Bukan berniat untuk menunjuk-nunjuk apatah lagi nak berbangga diri, tapi inilah apa yang sedang saya hadapi pada tika dan saat ini. Alhamdulillah,” ungkap Alyah seraya membuka bicara bersama Pose.

Meneruskan ceritera, pemilik nama lengkap Noor Hasliah Abu Hasan itu memberitahu, zaman muda dan ‘sia-sianya’ sudah lama berlalu.

Bagi Alyah, setiap orang yang bergelar manusia di muka bumi ini tidak terlepas daripada melakukan khilaf terutama ketika zaman muda.

“Saya juga pernah melalui fasa muda dan terkeluar lari daripada arus sebenar kehidupan. Saya anggap itu sebagai ujian yang membentuk siapa diri saya hari ini.

“Allah nak melihat usaha kita untuk memperbaiki pengakhiran hidup kita. Jadi, jangan berhenti untuk berusaha memperbaiki diri walaupun sesaat,” katanya.

Jelasnya lagi, dia sedar hidup hanyalah sementara dan peluang untuk hati ‘dijentik’ bukan sesuatu yang sentiasa tiba.

SOAL zuriat, Alyah dan Ramli MS menyerahkan segalanya kepada Allah sebagai sebaik-baik perancang.

Sesal separuh nyawa

Justeru menerusi perubahan yang dilakukan atas diri dan seluruh relung hidupnya, Alyah nekad turut mengubah haluan muziknya ke arah unsur ketenangan jiwa.

Siapa sangka penyanyi yang popular menerusi single Tak Mungkin Kerna Sayang itu juga mengakui benar-benar berasa berdosa apabila pernah membuatkan peminat terbuai menerusi lagu-lagu tangkap lelehnya sebelum ini.

“Yang berlalu biarlah berlalu. Saya berjanji kepada diri untuk tidak lagi merakamkan sebarang lagu cinta yang boleh membuai dan buat orang ramai lupa kepada Pencipta.

“Cukuplah selama ini saya dah banyak buat anda semua alpa. Sesal separuh nyawa saya rasakan.

“Selama lebih dua dekad menjadi penyanyi, boleh dikatakan hampir semua lagu saya berunsur sedih, sengsara, cinta, curang dan kecewa,” ujarnya.

Alyah yang juga isteri kepada komposer dan pemuzik terkenal Datuk Ramli MS turut menyusun 10 jari memohon maaf atas kesilapan dan pengaruh yang dibawa selama ini.

SEPANJANG musim pandemik. Alyah hanya memfokuskan perniagaan yang diusahakan.

Justeru, Alyah tetap nekad dengan keputusan untuk tidak lagi hadir dengan lagu-lagu sedemikian melainkan penghasilan karya kerohanian dan ketuhanan seperti single Thank You Allah yang dilancarkan hujung April lalu.

“Kalau tanyakan saya bagaimana boleh terlintas untuk bawakan lagu bercorak ketuhanan, saya sendiri pun tiada jawapan spesifik. Tapi saya memang dambakan ketenangan.

“Saya rasa lagu ini (Thank You Allah) merupakan buah tangan terbaik pernah saya tulis bersama komposer Omar K dan rakan penyanyi, Ikhwan Fatanna.

“Lagu ini saya nukilkan khas dari lubuk hati yang paling dalam ketika masih mencari jawapan tentang kehidupan saya,” ujarnya.

Tambahnya, perjalanan hidupnya masih terlalu jauh dan banyak yang perlu dipelajari demi mendapat keredaan Ilahi.

Mungkin soal anak dan zuriat agak klise untuk diulang cerita, namun jika ada yang bertanya mengenai itu, Alyah tetap ada jawapan tersendiri.

Katanya, dia dan suami tidak menolak untuk dikurniakan cahaya mata walaupun usianya kini sudah mencecah 40 tahun.

SEPANJANG musim pandemik. Alyah hanya memfokuskan perniagaan yang diusahakan.

Imun, berserah

Beritahu Alyah, dia menyerahkan semua urusan dan perihal zuriat kepada Yang Maha Esa dan tidak menolak jika rezeki itu diberikan sedikit lewat.

“Jujur saya katakan, kalau sebelum ini, sekitar empat atau lima tahun lalu, saya akui agak sensitif dan lemas apabila diasak persoalan tentang anak. Tapi kini, saya dah imun dan tidak kisah sangat.

“Bukan saya tidak mahu anak atau langsung tidak berusaha ke arah itu, tetapi rezeki masih belum berpihak kepada kami. Saya hanya mampu merancang, tapi Allah yang tentukan.

“Tipulah seorang wanita bergelar isteri tidak mahukan zuriat sendiri. Untuk ke arah itu, saya perlukan komitmen dari segi masa dan betul-betul konsisten,” ungkapnya.

Juara Bintang Hiburan Minggu Ini (HMI) 2000 itu menambah, dia juga perlu menyusun waktu sebaik mungkin lebih-lebih lagi jika mahu melakukan rawatan persenyawaan in vitro (IVF) sebagai usaha mendapatkan zuriat.

“Selagi saya masih beri komitmen kepada nyanyian, mungkin sukar untuk saya jalankan rawatan berkenaan dalam masa terdekat. Sebelum ini memang pernah nak buat, tapi dek jadual terlalu padat saya tangguhkan dahulu.

“Insya-Allah satu hari nanti saya akan lakukannya juga kerana sekarang pun sudah mula memperlahankan aktiviti nyanyian. Jika Allah gerakkan hati saya, saya pasti akan lakukan,” katanya menutup aksara kata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI