fbpx

JDT berpesta gol benam Perak FC 5-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Safawi membuat tendangan ke arah pintu gol walaupun cuba dihalang oleh Mohamad Idris di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor malam ini. - Foto RAJA JAAFAR ALI

ISKANDAR PUTERI – Penyerang sensasi, Bergson Da Silva muncul wira Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila meledak hatrik ketika membantu pasukan berpesta gol menewaskan Perak FC 5-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.

Jaringan hatrik itu adalah yang pertama buat pemain kelahiran berusia 30 tahun itu bersama JDT sekali gus menambah jaringan peribadinya sebanyak 16 gol musim ini.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Harimau Selatan terus selesa di persada liga selepas mengutip 39 mata menerusi 16 perlawanan, sembilan mata di hadapan Terengganu FC yang kurang satu perlawanan.

Pasukan tuan rumah mempamerkan aksi bertenaga sebaik minit pertama hingga memaksa pasukan lawan untuk bermain lebih banyak bertahan bagi mengelakkan gawang dibolosi.

Percubaan pertama JDT ke arah gol lawang menerusi percubaan Gonzalo Cabrera yang melepaskan rembatan luar kotak berjaya ditangkap kemas penjaga gawang, Muhammad Azri Ghani.

Kubu ampuh skuad The Bos Gaurus yang banyak bertahan di gawang sendiri itu akhirnya bocor hasil jaringan Bergson pada minit ke-19.

Pemain kelahiran Brazil itu bijak menerima jolokan Cabrera sebelum bertindak lincah melepasi kawalan Charles William dan Mohamad Idris Ahmad sebelum melepaskan rembatan kaki kiri menewaskan penjaga gol.

Bersambung babak kedua, Bergson tidak menunggu lama untuk menambah jaringan pada minit ke-47 bagi menambah derita kepada pasukan bimbingan Chong Yee Fatt.

Gerakan yang dimulakan oleh Safawi Rasid di bahagian sayap kanan melepasi kawalan pemain bek lawan sebelum melorong bola kepada Bergson yang bijak memanfaatkan hantaran tersebut.

Tersentak jaringan awal di babak kedua itu, Yee Fatt membuat pertukaran untuk cuba bangkit pada perlawanan itu.

Namun begitu, pasukan JDT terus menambah duka buat pasukan Perak apabila Bergson melengkapkan hatrik apabila bijak memanfaatkan hantaran lintang Afiq Fazail melepasi kawalan K. Pavithran untuk menjaringkan gol ketiga pada minit ke-58.

Skuad The Bos Gaurus bagaikan hilang punca itu terus dihukum juara Liga Super tujuh kali itu apabila Cabrera menambah dua gol dalam 10 minit trakhir permainan bagi menghukum pasukan lawan.

Pada minit ke-82, Cabrera melepaskan rembatan deras bagi menewaskan penjaga gol sebelum menyempurnakan sepakan penalti bagi menambah gol peribadinya pada perlawanan itu melengkapkan malam gemilang buat JDT. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI