fbpx

Pengusaha kosmetik makan durian beramai-ramai disiasat polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar tular memaparkan seorang pengusaha kosmetik popular (tengah) sedang menikmati buah durian bersama beberapa individu lain.

PETALING JAYA – Polis akan memanggil seorang pengusaha kosmetik terkenal untuk diambil keterangan susulan penularan sekeping tangkap layar daripada video siaran langsung memaparkan lelaki berkenaan sedang menikmati buah durian bersama beberapa individu lain.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya telah terkesan tangkap layar tersebut kira-kira pukul 1.10 tengah hari semalam dan mendapati ia telah dikongsikan lebih daripada 4,000 kali di laman media sosial.

“Semakan di bahagian komen pula mendapati banyak netizen yang telah menanda akaun (tag) media sosial Polis Diraja Malaysia bagi menggesa tindakan diambil terhadap individu tersebut.

“Kira-kira pukul 4 petang tadi pula, pihak polis telah menerima satu laporan polis berhubung perkara tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, penularan tangkap layar itu telah mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat kerana perbuatan beliau didapati melanggar peraturan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya telah menjalankan siasatan di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (PPN) 2021 dan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Pengusaha kosmetik tersebut turut akan dipanggil untuk membantu siasatan,” tegas beliau.

Tambah Ku Mashariman, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP PPN Fasa 1 yang telah ditetapkan oleh kerajaan dalam usaha untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

“Orang ramai juga diingatkan agar berhati-hati dalam memuat naik atau berkongsi apa-apa kenyataan serta kandungan di media sosial supaya tidak mewujudkan satu spekulasi negatif yang boleh mendatangkan fitnah atau kemudaratan kepada ketenteraman awam,” katanya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI