PENERJUN negara, Nur Dhabitah Sabri berjaya mengesahkan tempat ke final acara tiga meter (m) papan anjal individu Sukan Olimpik Tokyo 2020 esok.
Kejayaan itu hadir selepas Dhabitah muncul 12 penerjun terbaik pada saingan separuh akhir di Pusat Akuatik Tokyo sebentar tadi.
Atlet dari Kuala Lumpur berusia 22 tahun itu berjaya mengumpul 312.60 markah selepas lima terjunan untuk meraih tempat keenam daripada 18 penerjun.
Ia bukan tugas mudah buat Dhabitah di final esok kerana bakal berdepan cabaran daripada dua pilihan utama dari China, Shi Tingmao dan Wang Han yang berjaya meraih pingat emas 3m papan anjal seirama baru-baru ini.
Lawan lain buat Dhabitah esok ialah Jennifer Abel dari Kanada, Aranza Vazquez Montano (Mexico), Krysta Palmer, Hailey Hernandez (Amerika Syarikat), Tina Punzel (Jerman), Esther Qin (Australia), Inge Jansen (Belanda), Maria Poliakova (ROC) dan Michelle Heimberg (Switzerland).
Saingan final berkenaan dijangka berlangsung pada pukul 2 petang (waktu Malaysia). – K! ONLINE