ATLET menembak negara, Nur Suryani Mohd. Taibi gagal untuk melangkah ke pentas akhir dalam acara 50 meter (m) rifle tiga posisi selepas terkandas di pusingan kelayakan sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Lapang Sasar Asaka itu, dia sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-34 daripada 37 peserta selepas mengumpul 1,142 mata iaitu 29 mata dibezakan dengan zon kelayakan.
Pada penampilannya di Sukan Olimpik London 2012, Suryani yang beraksi dalam acara 10m air rifle turut menamatkan saingan di tempat ke-34 daripada 57 peserta.
Sebagai rekod, hanya lapan peserta terbaik melayakkan diri ke pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung petang ini dengan atlet dari Rusia, Yulia Zykova mengungguli saingan kelayakan selepas mengutip 1,182 mata. – K! ONLINE