KOTA BHARU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya merampas sebanyak 1.68 juta batang rokok seludup bernilai RM332,400 dalam operasi yang dijalankan di sempadan negara sepanjang minggu ini.
Pengarah JKDM Kelantan, Mohd. Rakbi Mat Saud berkata, rokok dengan cukai sebanyak RM1.1 juta itu dirampas ketika penyeludup cuba membawa masuk secara haram melalui Sungai Golok dan persisir pantai negeri Kelantan.
Katanya, selain itu, JKDM turut merampas dua buah lori yang digunakan bagi tujuan penyeludupan.
“Kesemua rokok yang dirampas itu dipercayai akan dijual di Kelantan dan negeri-negeri Pantai Timur yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Rakbi, selain rokok seludup, pihaknya turut merampas sebuah kereta jenis Mitsubishi Lancer klon yang dipercayai diseludup dari Singapura.
Katanya, kereta itu dianggarkan bernilai RM20,000 dan melibatkan cukai sebanyak RM38,000.
Tambahnya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929