JOHOR BAHRU – Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi, KTM Duke 250 maut selepas terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah van di Jalan Skudai Lama, Taman Tampoi Indah, di sini malam semalam.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Pegawai Bomba Kanan II, Nazarudin Yusof berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian itu pada pukul 10.24 malam.
Katanya, seramai 12 pegawai dan anggota beserta tiga buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati penunggang motosikal yang berusia 39 tahun tersepit di bahagian bawah van berkenaan.
“Mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas namun telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan yang hadir,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, pemandu van yang berusia 49 tahun bagaimanapun dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
“Mangsa kemudian telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada pukul 11 malam,” ujarnya.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929