fbpx

765LT Spider supercar paling laju McLaren

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KENDERAAN umpama labah-labah ini mempunyai ruang dalaman yang luas berikutan bahagian A pillar jentera dipanjangkan.

JENAMA McLaren merupakan label besar dalam bidang permotoran yang sememangnya tidak asing lagi bagi para peminat jentera berkuasa tinggi.

Artura, 720S, 720S Spider dan 765LT hanyalah sebahagian daripada jentera-jentera mengagumkan yang terdapat dalam katalog supercar jenama berkenaan.

Terbaharu pada Rabu lalu, syarikat yang berpangkalan di Woking, England tersebut secara rasminya melancarkan jentera terbaharu mereka iaitu McLaren 765LT Spider.

Sudah tentu, jentera dengan ciri-ciri yang terdapat pada 765LT Spider ini hanya mampu dimiliki oleh golongan berkemampuan.

Manakan tidak, harga jualan jentera berprestasi tinggi berkenaan adalah £310,500 (RM1.8 juta).

Bukan itu sahaja, ia juga dihasilkan secara terhad iaitu sebanyak 765 buah saja, sekali gus menambahkan lagi nilai eksklusifnya.

Jentera hebat ini telahpun mula dijual kepada para peminatnya.

Ketua Pegawai Eksekutif McLaren Automotive, Mike Flewitt berkata, peminat-peminat jentera LT ataupun longtail menunjukkan minat mendalam terhadap model tersebut.

“Adalah jelas pelanggan kami terus menunjukkan minat terhadap supercar longtail yang memiliki prestasi ekstrem sedangkan bilangannya terhad.

“Dengan kesemua 756 model 765LT coupe telahpun habis dijual, tidak menghairankan apabila kesemua produksi 765LT Spider bagi tahun ini juga telahpun habis ditempah,” katanya.

Model 765LT Spider adalah versi bumbung boleh buka bagi 765LT.

JENTERA mewah ini kelihatan begitu gah terutamanya apabila pintu sisinya dibuka.

McLaren memberi jaminan kepada peminatnya bahawa jentera tersebut kekal berprestasi tinggi seperti 765LT. 765LT Spider didatangkan dengan enjin V8 turbo berkembar 4.0 liter.

Seperti yang dijangka, enjin berkenaan menghamburkan kuasa mengagumkan iaitu 765PS dan menghasilkan tork maksimum 800Nm.

Menurut syarikat tersebut, kuasa berkenaan membolehkan 765LT Spider bergerak dari titik pegun ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 2.8 saat sahaja. Bahkan, 765LT Spider dikatakan mampu mencapai kelajuan tertinggi 330 km/j.

Enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi Sequential Shift Gearbox (SSG) tujuh kelajuan. Dalam erti kata lain, 765LT Spider merupakan supercar paling laju yang dijual McLaren ketika ini.

Satu ciri yang paling menonjol pada jentera tersebut adalah rekaan bumbungnya Retractable Hard Top (RHT). McLaren memberitahu bahawa rekaan one piece RHT boleh dibuka secepat 11 saat sahaja ketika ia dipandu pada kelajuan 50km/j.

Jaminan yang diberikan mereka adalah rekaan bumbung itu begitu kukuh sehinggakan ia tidak perlu dipasang bar sokongan tambahan.

BUMBUNG supercar ini boleh dibuka dalam tempoh yang pantas semasa pemanduan mahupun tidak.

Rekaan daripada bahan serat karbon di bahagian belakang 765LT Spider juga memberikan ciri keselamatan ekstra bagi pemandu.

Bagaimanapun, jentera itu dikatakan sedikit berat iaitu sekitar 49 kilogram (kg) berbanding 765LT ekoran rekaan bumbung tersebut. Begitupun, ia tetap tidak memberikan sebarang kesan terhadap prestasi kereta tersebut.

McLaren 765LT Spider didatangkan dengan lampu depan diod pemancar cahaya (LED) penuh dengan padanan teknologi seperti lampu nyalaan siang (DRL) automatik serta lampu belakang LED automatik.

Jentera itu didatangkan dengan tayar Pirelli P ZERO bersaiz 19 inci di bahagian hadapan dan 20 inci (belakang). Ia dipadankan dengan rim aloi 10 jejari.

Di bahagian dalamnya pula, jelas rekaannya diinspirasikan daripada jentera McLaren P1. Ia dapat dilihat dengan ketara menerusi rekaan tempat duduknya selain material Alcantara memenuhi ruang dalaman jentera itu.

Material tersebut boleh dikesan pada tempat duduk, stereng, papan pemuka serta pintu 765LT Spider. Penggunaan Alcantara nyata menonjolkan ciri mewah jentera berkenaan.

RUANG dalamannya termasuk bahagian pemanduan tampak mewah dan memukau dengan penggunaan material Alcantara.

Rekaan RHT pada jentera tersebut juga membolehkan A pillar 765LT Spider dipanjangkan sebanyak 80 milimeter (mm) ke hadapan, sekali gus menjadikan ruang dalamannya lebih luas.

Bagi sistem hiburan pula, 765LT Spider didatangkan dengan Sistem Infotainment McLaren (MIS), skrin sesentuh lapan inci, connectivity 4G LTE dan McLaren Track Telemetry (MTT).

Bagi tujuan aerodinamik pula, sayap belakang jentera (spoiler) adalah 20 peratus lebih besar daripada model 720S Spider.

Begitu juga dengan suspensi hadapan kereta itu apabila ia juga direndahkan jurutera McLaren.

McLaren 765LT Spider didatangkan dengan tiga warna khas iaitu Nardo Orange (jingga), Smoked White (putih) dan Ambit Blue (biru). Secara keseluruhan, pengguna mempunyai pilihan sehingga 18 warna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI