SETIAP pasangan yang berkahwin pasti menginginkan zuriat sebagai pelengkap kehidupan berumah tangga.
Kehadiran cahaya mata juga disebut sebagai penyeri agar hubungan tidak terasa ‘kosong’.
Situasi sama juga sedang dilalui oleh pelakon Mona Allen bersama suaminya, seorang aktor juga pengarah, Pekin Ibrahim.
Selepas tiga tahun membina mahligai bersama, perkahwinan yang mereka bina masih belum diserikan dengan kehadiran cahaya mata.
Mona sendiri sudah cukup bersedia untuk memikul tanggungjawab menjadi seorang ibu.
Sedar usia semakin meningkat, Mona atau nama sebenarnya Munna Hafiraneza Allen, 36, juga merasakan sudah tiba masa untuk dia menimang cahaya mata.
“Mana-mana pasangan yang sudah berumah tangga pasti inginkan zuriat, sama seperti saya. Tapi rezeki Allah SWT yang beri. Kalau belum diizinkan lagi, nak buat macam mana?” ujarnya yang bagaimanapun enggan terlalu memikirkan perkara tersebut.
Belum rezeki
Sebagai seorang wanita yang belum mempunyai anak, Mona juga tidak menyangkal bahawa soal zuriat boleh menjadi isu sensitif untuk dipersoalkan secara terbuka lebih-lebih lagi perkara tersebut melibatkan soal hati dan keluarga.
Ujarnya, masyarakat seharusnya lebih sensitif jika hendak memberikan komen tentang perkara tersebut supaya tidak menyakitkan hati sesiapa sahaja.
“Seperti apa yang berlaku terhadap pelakon Siti Elizad baru-baru ini, saya rasa tidak wajar netizen melemparkan kenyataan menghina seperti itu.
“Media sendiri pun kena mainkan peranan untuk mendidik masyarakat supaya tidak terlalu taksub untuk menghentam orang lain,” katanya.
Suami Mona, Pekin atau nama sebenarnya Mohd. Iznan bin Ibrahim, 40, pula meluahkan, sebagai lelaki dan suami, dia sebenarnya tidak terasa hati jika disoal tentang anak.
“Sebagai suami, saya tidak terasa sangat kalau orang tanyakan saya (soal anak).
“Kalau ada rezeki, adalah. Tetapi bagi perempuan mungkin berbeza. Jadi saya sebagai suami kena beri sokongan kepada isteri.
“Macam baru-baru ini, dia (Mona) jumpa doktor sakit puan, saya langsung tidak tahu. Dia balik ke rumah baru dia cakap.
“Tetapi saya tidak boleh marah dan kena kena faham cara orang perempuan. Jadi saya layankan sahaja,” ujar Pekin.
Kata Pekin, dia sebenarnya tahu apa yang diinginkan daripada isterinya, iaitu ingin sama-sama berjumpa doktor.
“Saya tak boleh kata tidak. Jadi saya pergi sama-sama berjumpa doktor dengannya. Sekurang-kurangnya saya tunjukkan usaha,” katanya.
Dalam pada itu, baik Pekin mahupun Mona, kedua-dua mereka bersikap optimis kerana enggan menjadikan isu zuriat sebagai suatu yang boleh membebankan kepala.
“Alhamdulillah, doktor sahkan kami berdua tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan untuk menimang zuriat. Dua-dua sihat. Cuma rezeki belum ada dan kami masih lagi mencuba untuk dapatkan cahaya mata sendiri,” jelas Mona.
Bisnes kek mentega
Dalam perkembangan lain, Mona turut berkongsi aktivitinya yang mengusahakan perniagaan kek mentega (butter cake) secara kecil-kecilan sepanjang Perintah Kawalan pergerakan (PKP).
Ujar Mona, memandangkan dia tidak dapat melakukan sebarang aktiviti penggambaran, dia mengisi waktu yang ada dengan membuat kek mentega untuk dijual.
“Idea untuk menjual kek mentega timbul selepas kerajaan umumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur pada 1 Julai lalu.
“Sebelum itu, saya sebenarnya buat kek mentega bukan untuk dijual. Saya buat untuk keluarga dan rakan-rakan terdekat sahaja. Tapi ramai pula yang suka. Mungkin Tuhan nak beri saya rezeki sementara,” tutur
Mona yang menjadikan resipi ibunya sebagai asas pembuatan kek air tangannya.
“Bila ada pembeli ‘repeat order’, maknanya kek mentega yang saya buat sedap. Alhamdulillah sambutan memang memberangsangkan.
“Mungkin orang sukakan kek mentega saya sebab tak muak. Saya hanya guna bahan-bahan premium untuk membuatnya. Suami pun jadi ringan tulang menolong di dapur,” jelasnya.
Watak klise
Dalam perkembangan terkini kariernya sebagai pelakon, Mona mengakui mula bosan apabila asyik diberikan watak klise sama ada perempuan jahat atau heroin yang terlalu baik.
“Kalau watak baik, mesti kena nampak ‘kampung’. Kalau jahat watak kena nampak ‘urban look’. Bosanlah.
“Saya nak bawa watak yang penonton sendiri susah nak teka sama ada watak saya jahat atau baik.
“Saya sebenarnya pernah utarakan idea ini kepada suami, tapi dia takut penonton Malaysia tak boleh terima watak sebegitu,” ujarnya yang juga teringin untuk membawakan watak aksi dan melibatkan adegan pergaduhan.