fbpx

Orang Malaysia pun kacak, cantik juga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Welsom Sim beraksi dalam acara renang 400 meter Gaya Bebas pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini. -KAMARUL / ASIANA

Kala sukan terbesar dunia, Olimpik membuka tirainya dengan perarakan perbarisan kontinjen negara-negara bertanding Jumaat minggu lalu, nama perenang Malaysia, Welson Sim tiba-tiba meledak di platform media sosial, Weibo di China, bahkan dikatakan turut tular di Thailand.

Semuanya kerana ketampanan atlet dari Sarawak itu. Bayangkan, dengan penampilan hanya berpelitup muka dan disoroti lensa cuma kira-kira dua saat, rupa paras Welson terus mencairkan hati ramai ‘amoi’ di China sehingga namanya menjadi sohor kini di sana.

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama orang luar terpesona dengan wajah atau personaliti orang Malaysia di Olimpik.

Pada Olimpik Rio 2016, senyuman penerjun Malaysia, Nur Dabithah Sabri diperkatakan masyarakat dunia kerana disifatkan gadis itu miliki senyuman jutaan dolar (million dollar smile).

“Penerjun Malaysia sentiasa tersenyum walaupun di dalam air, ia memberi inspirasi kepada saya untuk jadi manusia lebih baik,” kata netizen yang juga pengarang agensi berita AP, Melinda Waldrop di Twitter.

Begitu juga dengan pemain badminton Goh Liu Ying. Semasa Liu Ying berdepan dengan beregu Indonesia di final Olimpik Rio, nama wanita itu trending di Indonesia kerana ‘kecomelan’ rupanya.

Sejak itu, Liu Ying digelar Dewi Bulu Tangkis Malaysia di sana dan mengumpul peminat Indonesia yang begitu ramai. Saat Liu Ying dikecam atas aksinya tahun ini, media sosialnya masih dibanjiri ramai netizen Indonesia yang terus memberikannya kata-kata semangat.

Gimnas cantik Farah Ann Abdul Hadi juga pernah dilaporkan akhbar mencetuskan fenomena di Sukan SEA Manila, Filipina apabila setiap kemunculannya menerima sorakan luar biasa penduduk tempatan berbanding atlet-atlet lain seolah-olah dirinya begitu popular di sana.

Selain berjuang mewakili negara dalam sukan, nampaknya atlet-atlet Malaysia ini juga boleh dikatakan sebagai duta yang mengetengahkan rupa paras orang Malaysia kepada dunia.

Memang orang Malaysia secara umumnya tidak begitu menonjol di pentas peragaan atau pertandingan kecantikan kerana batas-batas tertentu, tetapi orang Malaysia sebenarnya kacak-kacak dan cantik-cantik juga.

Ketika ramai orang Malaysia sendiri yang lebih tergila-gilakan wajah Korea, Siam, Mat Salleh, Pakistan dan Hindustan, orang Malaysia sebenarnya tidak kurang menarik.

Bahkan satu tinjauan antarabangsa melibatkan lebih sejuta orang di dunia pada 2019, Malaysia tersenarai dalam kelompok 50 bangsa memiliki rupa paras menarik iaitu di kedudukan 25.

Hanya tiga negara Asia Tenggara tersenarai iaitu Filipina, Malaysia dan Thailand.

Malaysia bahkan mendapatkan kedudukan yang lebih baik berbanding Thailand (36), Iran (26), India (28), Israel (30), Pakistan (42) dan Amerika Syarikat (45).

Apapun dalam sukan bukan rupa yang jadi ukuran sebaliknya pencapaian. Malaysia kini kian tertekan apabila masih belum meraih pingat emas di Olimpik.

Biarpun kita tampak seperti jaguh sukan di Asia Tenggara, hakikatnya Thailand, Indonesia, Vietnam, Singapura dan Filipina sudah menggenggam emas Olimpik. Moga ada rezeki emas kita tahun ini.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI