LONDON – Satu kajian mendapati New Zealand adalah lokasi terbaik untuk didiami mereka yang ingin terselamat sekiranya berlaku kehancuran tamadun manusia di masa hadapan, lapor akhbar The Sun semalam.
Kajian oleh Institut Kelestarian Global Universiti Anglia Ruskin, England itu mendapati New Zealand menduduki tempat pertama diikuti Iceland, negeri Tasmania di Australia, Ireland dan Britain.
Setiap lokasi disenaraikan berdasarkan beberapa faktor berbeza seperti sempadan yang selamat, keupayaan menghasilkan makanan untuk penduduk serta tenaga mencukupi dan infrastruktur pengilangan.
“Lokasi-lokasi kepulauan mendapat skor lebih baik berbanding negara-negara yang mempunyai sempadan tanah besar.
“Disebabkan itu, Amerika Syarikat berada pada kedudukan keenam kerana negara itu mempunyai sempadan yang dihubungkan dengan negara-negara lain,” kata Pengarah Institut Kelestarian Global Universiti Anglia Ruskin, Profesor Aled Jones.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Sustainability itu, New Zealand mendahului senarai kerana para penyelidik percaya negara itu mampu mengekalkan susunan masyarakat, selain teknologi dan organisasi turut berada pada tahap yang baik.
Selain itu, empat negara lain tersebut dipilih kerana masing-masing memiliki keupayaan untuk terus bertahan tanpa memerlukan banyak bantuan dan sumber luar.
Kelima-lima negara itu juga mempunyai suhu agak sejuk buat masa ini selain berpotensi untuk meneruskan kestabilan cuaca meskipun dalam konflik perubahan iklim.
Kajian sama menyebut keadaan yang boleh mengakibatkan kemusnahan sosial sejagat seperti kemusnahan alam sekitar, ketiadaan sumber makanan dan populasi yang sangat padat.
Perubahan iklim turut disifatkan sebagai ‘peningkat risiko’ yang akan memburukkan konflik sedia ada. – Agensi