PETALING JAYA – Pembaca berita Buletin Utama TV3, Hawa Rizwana, pengacara Malaysia Hari Ini (MHI), Ally Iskandar serta pelawak popular, Douglas Lim dipilih sebagai wajah baharu yang menyertai radio Media Prima Berhad, Ripple.
Ripple menerusi hebahan media berkata, Ally dan Hawa bakal mengendalikan segmen pagi stesen radio Kool FM, manakala Douglas bergandingan dengan penyampai sedia ada Fly FM, Ili mengendalikan slot pagi bermula Isnin depan.
“Ini adalah gandingan pertama Ally dan Hawa yang dikenali penonton televisyen ke platform radio dan perkara ini pastinya satu kejutan yang menarik.
“Douglas pula pastinya akan menggunakan pengalaman sebagai pelawak, pelakon, pengacara dan ‘stand up’ komedi dalam platform radio
nanti.
“Sudah tentu gandingannya bersama Ili yang mewakili generasi muda pasti akan mencetuskan rasa teruja pendengar,” kata wakil Ripple menerusi kenyataan media tersebut, hari ini.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Ripple, Nazri Noran, mengumumkan transformasi perniagaan membabitkan perubahan operasi dan struktur dalaman syarikat itu pada 19 Julai lalu.
Ini membabitkan perubahan kandungan dan barisan penyampai bagi semua stesen radio di bawah mereka.
Sementara itu, semalam pengurusan rangkaian radio terbabit mengumumkan kemasukan semula bekas penyampai mereka, Fara Fauzana serta AG di Hot FM bergabung dengan Fad untuk segmen Geng Pagi Hot.
Bagi stesen radio One FM pula, Angelina selaku penyampai sedia ada bakal dipadankan Dan berkongsi konti dengan Royce.
Royce yang juga penyampai radio berbahasa Cina membuat keputusan untuk kembali ke industri penyiaran selepas empat tahun berehat.
Antara pembaharuan lain, stesen radio Kool FM dan One FM juga bakal dikenali dengan jenama baharu yang akan diumumkan 2 Ogos depan. – K! ONLINE