KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan sekali lagi menghantar representasi untuk menggugurkan dua pertuduhan tidak mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Mukhzany Fariz Mohd. Mokhtar pada sebutan semula kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahir Mohd. Salleh di sini hari ini.
Beliau berkata, pihak pendakwaan dan Jabatan Peguam Negara (AGC) sudah menerima representasi tersebut.
“Saya sepatutnya berjumpa dengan Tan Sri AG (peguam negara) semalam bagi membincangkan representasi tersebut namun perjumpaan terpaksa ditunda berikutan terdapat beberapa kekangan,” katanya.
Berikutan itu katanya, mahkamah mengingatkan kedua-dua pihak supaya, sebarang representasi yang ingin dikemukakan dibuat lebih awal kerana tarikh bicara sudah ditetapkan iaitu bermula tengah tahun depan.
Mahkamah sebelum ini menetapkan prosiding berlangsung selama 23 hari iaitu pada 7 hingga 9 dan 13 hingga 15 Jun; 18 hingga 21 dan 25 hingga 28 Julai serta 15 hingga 19 dan 22 hingga 25 Ogos 2022.
Hari ini, kes berkenaan ditetapkan untuk sebutan kali pertama yang akan dibacakan semula terhadap Ahmad, 55, selepas Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan beliau untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen pada 13 Julai lalu.
Namun, peguam Hamidi Mohd. Noh yang mewakili Ahmad memberitahu mahkamah, bahawa anak guamnya tidak dapat hadir kerana berkemungkinan mempunyai kontak rapat dengan individu yang positif Covid-19 di Parlimen.
“Oleh itu, saya mohon satu tarikh sebutan baharu untuk pertuduhan dibacakan terhadap Datuk Seri Ahmad,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 24 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929