KUALA LUMPUR – Gara-gara menularkan gambar separuh bogel bekas teman wanitanya dalam laman sosial akaun palsu Instagram, seorang jurutera perisian didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi.
Majistret S. Mageswary menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Ahmad Firdaus Mohd. Suki,35, selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah turut memerintahkan Ahmad Firdaus dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar jumlah denda itu dan tertuduh membayarnya.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Firdaus didakwa telah viralkan gambar separuh bogel melalui Instagram yang merupakan akaun palsu atas nama mangsa yang berusia 31 tahun. Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit pangsapuri di Bandar Baru Sentul di sini pukul 1 pagi pada 6 Ogos lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana tindakan tertuduh itu telah mengaibkan maruah mangsa termasuk melibatkan maruah seorang perempuan.
Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Rhastdan Abdul Wahab memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan kes itu merupakan kesalahan pertama selain pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah.
“Tertuduh merupakan penganggung utama keluarganya termasuk menjaga ibu bapa yang sakit,” katanya.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian iaitu pada telah berlaku perselisihan faham antara mereka apabila mangsa ingin memutuskan hubungan cinta.
Pada sama tertuduh telah mengatakan kepada mangsa bahawa dia akan menularkan gambar separuh bogel mangsa.
Ekoran itu mangsa kemudian telah membuat satu laporan polis berhubung tindakan tertuduh itu. -K! ONLINE