PUTRAJAYA – Kegiatan sebuah premis perniagaan membeli sarung tangan getah yang rosak dan terpakai sebelum dijual semula berjaya ditumpaskan Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam satu operasi pada 12 Ogos lalu.
Pengarahnya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, peniaga barang tiruan di Sri Hartamas, Kuala Lumpur itu didapati membersihkan sarung tangan terpakai sebelum dibungkus semula menggunakan jenama Gloveon Paloma yang berdaftar dengan cap dagang.
“Pemeriksaan yang dijalankan menemukan sebanyak 840 kotak berisi sarung getah tangan tiruan jenama Gloveon Paloma dan 8,280 unit kotak kosong jenama sama.
“Hasil verifikasi awal yang dijalankan oleh wakil pemilik cap dagang berdaftar mendapati kotak sarung tangan getah tersebut disyaki tiruan.
“Semua barang tersebut telah dirampas untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 42,320,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini. – K! ONLINE