fbpx

‘Sesaknya, takut dapat Covid-19’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Suasana sesak di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kuala Lumpur dan Selangor mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat negara ini yang berasa seolah-olah tidak lagi selamat ketika berada di fasiliti berkenaan.

Perkara itu diluahkan orang ramai di media sosial dengan harapan agar situasi tersebut dapat dikawal bagi mencegah risiko penularan jangkitan Covid-19 yang dikhuatiri menyumbang peningkatan kes harian yang kini sudah mencapai lima angka.

Seorang pengguna Facebook, Nizam Keroro Hijau berkata, dia berasa risau dengan keadaan itu terutama kehadiran warga asing dalam jumlah yang ramai seperti yang berlaku di PPV Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) kelmarin.

“(Situasi) ini bukan seperti hendak menerima suntikan vaksin, tetapi mahu dapat (jangkitan) Covid-19. Warga asing itu sudah pastikah mereka tiada simptom. Risaunya,” katanya semalam.

Seorang lagi pengguna Facebook, Raja Alam Syahbana turut meluahkan rasa kurang senang dengan situasi kesesakan di PPV yang turut dilaporkan berlaku di fasiliti lain di Selangor.

“Adakah semua warga Malaysia sudah divaksin? PPV lain ramai tak warga asing? Kesesakan bukan sahaja di PPV KLCC, tetapi ada lagi di PPV mega lain sesak terutamanya pekerja asing.

“Walaupun telah diasingkan tetapi (bilangan) mereka masih nampak ramai. Jangan pula PPV mega bertukar menjadi kluster mega,” ujar seorang lagi pengguna Facebook bernama Munie.

Sementara itu, rata-rata pengguna Twitter berpandangan langkah membenarkan penduduk di Lembah Klang mendapatkan suntikan vaksin secara walk-in atau terus pada 1 Ogos ini turut dibimbangi akan berlakunya ke­sesakan berulang di fasiliti tersebut.

“Saya berpendapat bukan satu langkah yang baik untuk membenarkan orang ramai mendapatkan suntikan vaksin secara walk-in.

“Keadaan di PPV pasti akan sesak dan petugas juga menghadapi kesukaran untuk mengawal orang ramai sekiranya fasiliti itu diserbu,” kata Ellyfernn.

Jelas Ellyfernn, kerajaan harus berpendirian tetap dengan kaedah mendapatkan vaksin secara janji temu seperti yang dilaksanakan sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan.

“Tidak terkejut lihat sesete­ngah PPV sesak. Banyak orang yang tak ikut jadual MySejahtera. Itu juga jadi punca. Sudah bagi masa tetapi tak mahu ikut. Menyusahkan orang lain,” kata Risi.

Kelmarin tular satu video berdurasi 26 saat menunjukkan warga asing berbaris panjang untuk memasuki PPV KLCC.

Insiden itu dikatakan berpunca daripada tindakan segelintir majikan menghantar pekerja mereka untuk vaksinasi dengan tidak mengikut masa janji temu yang telah ditetapkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI