TOKYO – Temasya sukan terbesar dunia iaitu Sukan Olimpik Tokyo 2020 sememangnya menarik perhatian seluruh dunia terutama penyertaan pasukan bola tampar wanita Turki pada edisi ke-32 itu.
Kehadiran atlet berusia 22 tahun, Zehra Gunes bersama pasukan Turki di Olimpik Tokyo menjadi tumpuan lensa kamera media antarabangsa kerana wajah manis selain memiliki ketinggian 1.97 meter (m).
Bagaimanapun, penyertaan sulung Zehra bukan dinilai dari paras rupa sebaliknya kepantasannya dan prestasi di dalam gelanggang menjadi pilihan jurulatih Giovanni Guidetti pada saingan Olimpik Tokyo.
Justeru, Zehra meletakkan harapan tinggi mereka mampu melakukan kejutan di bumi Tokyo terutama untuk menaiki podium selepas meraih kemenangan pertama dengan membenam China 3-1.
Pasukan Turki di undi dalam kumpulan maut apabila diletakkan bersama China, Amerika Syarikat, Itali, Rusia dan Argentina.
“Kami berpendapat bahawa juara Olimpik kali ini adalah salah satu pasukan daripada kumpulan ini. Sudah pasti ia bukan satu tugas mudah. Impian kami adalah untuk menaiki podium dan mencatat satu keputusan yang membanggakan negara kami Turki.
“Pasukan kami tidak mudah mengalah dan bagi saya tiada masalah meskipun menentang pasukan yang sangat kuat.
“Kita pernah menghadapi situasi sukar dan saya harap segalanya berjalan dengan baik. Kami mengharapkan keajaiban dan kembali dengan kejayaan,” tambahnya. – AGENSI