KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi menolak permohonan Datuk Seri Ahmad Maslan untuk membuat semakan bagi keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan beliau dibebaskan daripada dua pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta wang yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak dan memberi pernyataan palsu.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf dalam menolak kedua-dua permohonan Ahli Parlimen Pontian itu untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya.
“Dalam kes ini mahkamah mendapati tiada kesilapan yang dibuat di mahkamah rendah. Oleh itu mahkamah menetapkan untuk tidak menggunakan kuasa untuk semakan kehakiman bagi keputusan di mahkamah rendah,” katanya.
Terdahulu, peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad, 54, selaku pemohon berkata antara alasan yang digunapakai Mahkamah Sesyen yang menolak untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapi anak guamnya adalah kerana permohonan tersebut adalah
pramatang adalah tidak tepat.
“Tujuan permohonan kami adalah bagi mendapatkan kebenaran Yang Arif (untuk membuat semakan) untuk memastikan sekiranya Mahkamah Sesyen telah melakukan kekhilafan. Dalam kes ini, tiada sebarang notis atau arahan dikeluarkan terhadap anak guam saya yang menyatakan kelewatan beliau dalam membuat pembayaran dan sebagainya,” kata peguam itu.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Mukhzany Fariz Mohd. Mokhtar berkata pihaknya telah memfailkan notis bantahan berhubung permohonan tersebut dengan alasan keputusan membuat semakan ini adalah tidak berasas kerana ia adalah penyalahgunaan proses kuasa.
Pada 24 Julai lalu, Mahkamah Sesyen menolak permohonan pembatalan pertuduhan yang dihadapi Setiausaha Agung UMNO itu selepas berpuas hati permohonan tersebut adalah pramatang.
Mengikut pertuduhan pertama Ahmad, didakwa menerima wang RM2 juta daripada Najib, yang dipercayai sebagai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April 2014.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Ahmad dituduh memberi penyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal, berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara pukul 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.K!ONLINE