fbpx

Sindiket pemalsuan dokumen didalangi warga Bangladesh tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek warganegara Bangladesh ditahan Jabatan Imigresen dipercayai terlibat dalam sindiket pemalsuan dokumen dalam satu operasi pada 10 Ogos lalu.

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen (JIM) berjaya membongkar rangkaian sindiket pemalsuan pasport yang didalangi oleh lelaki warganegara Bangladesh dalam satu operasi khas yang dijalankan pada 10 Ogos lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya menemui pelbagai dokumen palsu termasuk sembilan pasport Bangladesh, empat pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dalam satu serbuan di sebuah premis kediaman di Jalan Klang Lama, Selangor.

Beliau berkata, satu komputer riba, satu mesin pencetak dan pelbagai peralatan untuk membuat pasport palsu turut disita selaik sebuah kereta Nissan Sentra milik suspek.

“Suspek seorang lelaki Bangladesh yang berusia 39 tahun didapati sudah tinggal di Malaysia selama 10 tahun dengan menggunakan PLKS dalam sektor perkhidmatan.

“Dia mula menjalankan aktiviti pemalsuan dokumen sejak setahun lalu dan dipercayai mampu mengaut keuntungan sebanyak RM8,000 hingga RM10,000 sebulan hasil jualan dokumen terbabit dengan semua hasil dihantar ke Bangladesh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, suspek mengenakan bayaran RM300 bagi satu pelekat PLKS palsu manakala RM100 bagi satu naskah pasport palsu.

Beliau berkata, modus operandi yang digunakan ialah dengan menjalankan kegiatan kereta sewa tidak berlesen atau ‘teksi sapu’ dan giat mencari pelanggan di sekitar Kuala Lumpur.

“Suspek akan menawarkan pelekat PLKS serta pasport palsu kepada warga Bangladesh bagi memudahkan mereka mendapatkan pekerjaan di Malaysia.

“Ini kerana majikan takut untuk mengambil pekerja asing yang tiada pasport,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, sindiket itu berjaya dikesan hasil risikan selama dua bulan menerusi beberapa siri tangkapan yang telah dilakukan terhadap rangkaian sindiket pemalsuan dokumen aktif di kawasan Lembah Klang.

Katanya, dalam satu serbuan berasingan ke atas sebuah premis kediaman di Cheras pada 9 Julai lalu mendapati lokasi itu dijadikan tempat membuat dokumen palsu yang seterusnya membawa kepada pembongkaran rangkaian sindiket berkenaan.

“Dalam serbuan tersebut, dua lelaki Bangladesh dan satu wanita warganegara Mongolia ditangkap kerana terlibat dalam sindiket itu,” katanya.

Beliau berkata, suspek telah ditangkap kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana memalsukan pas PLKS.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM30,000 dan penjara tidak kurang lima tahun serta boleh dikenakan tidak lebih enam sebatan,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI