SEBERANG PERAI – Seorang peniaga wanita ditahan polis di Sungai Bakap, Nibong Tebal di sini semalam berhubung penularan dua pesanan suara berita palsu menerusi aplikasi WhatsApp mengenai kes Covid-19.
Pesanan suara yang tular sejak semalam itu antaranya menyebut beberapa kedai didakwa terlibat kes Covid-19 selain peniaga Pasar Awam Sungai Bakap perlu menjalani ujian calitan dan pasar dijangka ditutup.
Manakala pesanan suara kedua mendakwa kawasan Sungai Bakap dalam situasi ‘darurat’ berikutan terdapat kes kematian serta banyak ambulans dan kendaraan polis yang dikatakan membawa jenazah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, suspek berusia 47 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan berhubung penyebaran berita palsu tersebut kira-kira pukul 1.30 tengah hari.
Menurutnya, laporan itu dibuat oleh Ketua Polis Balai Sungai Bakap selepas penyebaran pesanan suara tersebut menyebabkan ketakutan dan panik kepada masyarakat setempat.
Chong Chern berkata, hasil siasatan polis mendapati pesanan suara itu telah dihantar oleh seorang wanita kepada ahli keluarganya dan satu kumpulan WhatsApp di Sungai Bakap.
“Rakaman percakapan suspek menyatakan dia menghantar pesanan tersebut semasa berniaga di tepi jalan besar Sungai Bakap dan telah ternampak konvoi pasukan polis menghala ke Hospital Sungai Bakap dengan berpakaian penuh peralatan perlindungan diri (PPE).
“Tujuan dia menghantarnya adalah untuk memberi peringatan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan supaya berjaga-jaga dengan Virus Covid-19,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas beliau, hasil semakan mendapati punca wanita itu bertindak demikian selepas dia melihat pasukan polis dari Balai Polis Sungai Bakap membawa mayat seorang lelaki yang meninggal dunia di Kampung Valdor.
“Anggota memakai PPE penuh kerana sebagai perlindungan diri dan langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan berlaku perkara di luar jangkaan,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929