TANJUNG MALIM – Polis Diraja Malaysia akan menempatkan lebih 600 pegawai dan anggotanya pada hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim esok.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, polis juga akan menutup sementara laluan masuk ke tempat penamaan calin di Majlis Daerah Tanjung Malim di sini bermula jam 6.30 oagi sehingga proses penamaan calon selesai.
“Penutupan jalan dibuat bagi memastikan proses penamaan calon berjalan dengan lancar.
“Jalan yang terlibat ialah simpang masuk ke MDTM dari Jalan Persekutuan berhadapan Petronas Behrang 2020 dan lalyan masuk ke MDTM melalui Jalan Wawasan Mesra Perdana,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di sini hari ini.
Tambah Sulizmie Affendy, polis telah menetapkan laluan masuk ke pusat penamaan calon bagi Barisan Nasional (BN) adalah melalui Jalan Wawasan Mesra Perdana manakala calon lain yang bertanding boleh menggunakan laluan di Jalan Persekutuan.
“Dua sekatan jalan raya juga akan dibuat di Jalan Persekutuan di Kilometer 117 menghala selatan dan Kilometer 121 arah utara bagi mengelak sebarang aktiviti perarakan dan berkumpul oleh penyokong parti yang bertanding.
“Sepanjang proses penamaan calon, segala aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong parti tidak dibenarkan di semua tempat,” katanya.
Katanya, polis hanya membenarkan tiga orang sahaja iaitu calon dan seorang pencadang serta seorang penyokong untuk masuk ke pusat penamaan selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan koronavirus (Covid-19) bagi pelaksanaan PRK yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Kita tidak teragak-agak untuk mengambil apa-apa tindakan bagi menyuraikan kumpulan ini menerusi pasukan petugas yang telah ditempatkan.
“Polis turut mengingatkan kepada parti bertanding untuk mendapatkan kebenaran dan permit polis bagi sebarang aktiviti ceramah dan kempen pilihan raya ini,” katanya.
Katanya lagi, hanya ceramah dan kempen secara bergerak menggunakan kenderaan sahaja yang perlu mendapatkan permit polis manakala kempen rumah ke rumah pula hanya perlu mematuhi SOP ditetapkan selain mencatat rumah yang dikunjungi.
Seramai 277 anggota polis terlibat dalam pengundian awal yang dijadualkan pada 25 Ogos depan di IPD Muallim.
PRK DUN Slim yang melibatkan 23,094 pengundi berdaftar akan diadakan pada 29 Ogos depan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu. -K! ONLINE