fbpx

Spektakular, pesona Jun Ji-hyun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JUN JI-HYUN atau juga dikenali sebagai Gianna Jun.

SEWAKTU siri original Korea Selatan, Kingdom terbitan Netflix mula menemui penonton pada 2019, kemunculan zombi yang ganas dan berpenyakit menangkap perhatian luar biasa ramai penonton.

Tidak keterlaluan jika dikatakan serangan zombi dalam kedua-dua musim siri berkenaan paling menjadi bualan, sekali gus seakan-akan menolak ke tepi tumpuan terhadap dua pelakon utamanya, Ju Ji-hoon dan Bae Doo-na.

Bukan hanya menjadi bualan penonton, naskhah hebat berkenaan turut menangkap perhatian aktres jelita dan popular Jun Ji-hyun yang ikut sama mengagumi naratif yang disifatkannya sebagai spektakular.

IBU kepada dua cahaya mata ini terkenal dengan jolokan ratu romantik komedi. – FOTO: Kim Young-bae.

Cerita Ji-hyun sendiri, dia bertemu dengan penulis Kim Eun-hee di sebuah majlis tertutup dan mengakui sangat mengagumi naskhah berkenaan serta berharap dapat menjadi sebahagian daripada projek tersebut.

“Saya peminat tegar Kingdom. Ketika bertemu Eun-hee, saya katakan kepadanya yang saya berminat untuk terlibat dalam naskhah berkenaan walaupun sekadar menjadi zombi. Tetapi tidak sangka, dia memberikan saya watak yang besar iaitu Ashin,” katanya.

Itu sedikit sebanyak rentetan kisah yang terjadi sebelum Ji-hyun kemudiannya ditawarkan memegang watak utama dalam episod istimewa Kingdom: Ashin of The North yang mula dipancarkan menerusi Netflix bermula 23 Julai lalu.

Episod yang dinamakan sebagai ‘sidequel’ untuk musim kedua Kingdom tersebut meneroka kisah individu misteri bernama Ashin.

Ashin muncul ketika kumpulan putera mahkota Lee Chang sedang dalam pengembaraan untuk mencari punca jangkitan yang berlaku terhadap mayat manusia sebelum bertukar menjadi zombi.

GEMERLAPAN pesonanya dalam bidang peragaan didorong oleh ibu sendiri yang menggalakkan Ji-hyun menjadi model kerana faktor fizikalnya yang tinggi dan langsing.

Antara duka dan dendam

Ashin digambarkan sebagai seorang wanita yang hidup di sebuah perkampungan utara bernama Seongjeoyain. Berada di sempadan daerah menyebabkan penduduk di situ tidak tergolong dalam mana-mana pihak.

Dia kehilangan insan tersayang dalam tragedi menyayat hati akibat fitnah dan plot yang direka oleh komander kumpulan Chupajin, Min Chi-rok (Park Byung-eun).

Menjadi satu-satunya yang terselamat dalam tragedi berdarah di perkampungannya, Ashin membesar dan menjalani kehidupan di dalam kandang babi di pos penempatan tentera dan ketika itulah dia belajar memanah secara sembunyi.

Berketinggian 173 sentimeter, aktres yang juga merupakan model itu dikagumi kerana memiliki bentuk badan cantik, tinggi dan sempurna sebagai seorang wanita.

Menceritakan tentang latihan yang perlu dijalani bagi mendapatkan sisi pesona srikandi serta pemanah handalan, Ji-hyun bagaimanapun mengakui cabarannya tidak begitu besar. “Badan saya memang sudah sedia cergas kerana setiap hari saya melakukan senaman. Saya sentiasa bersedia dengan cabaran sepanjang penggambaran. Cuma bahagian paling penting dalam Ashin of The North, iaitu memanah.

“Dia membunuh zombi dengan hanya satu anak panah. Jadi tidak ada banyak aksi untuk watak saya seperti jangkaan ramai. Tetapi kecergasan sangat membantu untuk watak ini dan saya belajar memanah tetapi tidaklah sesukar mana,” kongsinya.

Sewaktu muncul dalam sidang media secara maya baru-baru ini, Ji-hyun ditanya apakah timbul perasaan takut ketika berdepan pelakon lain yang memegang watak zombi ketika di set penggambaran.

Bersulam tawa, jawapan diberikan Ji-hyun sebaliknya berbeza kerana dia mengaku menjadi orang paling teruja untuk bertemu empat mata dengan pemegang watak zombi.

“Tak takut langsung. Saya paling teruja nak bertemu mereka. Ketika di set penggambaran, baru saya dapat lihat bagaimana sukarnya untuk mereka mempersembahkan diri sebagai zombi.

“Saya meminta bergambar dengan mereka. Kesempatan itulah yang saya canang-canangkan kepada kawan-kawan dan keluarga,” ujarnya ketawa.

BUKAN sekadar memukau peminat di rantau Asia, Ji-hyun juga pernah melebarkan sayap kariernya ke dunia perfileman Hollywood pada 2009 menerusi Blood: The Last Vampire.

Ratu romantik komedi

Ji-hyun, satu nama yang sangat besar dalam industri hiburan Korea Selatan. Wanita itu merupakan aktres termahal di negara tersebut dan berada dalam kelas tersendiri.

Sejak mula terjun dalam industri lewat 1990-an, pelakon cantik itu pantas membina nama menerusi deretan naskhah popular, sama ada siaran televisyen mahupun layar perak.

Memulakan debut lakonan menerusi drama Fascinate My Heart (1998), Ji-hyun pantas mencipta populariti sebelum terus melangkah megah dengan kemunculan dalam deretan naskhah layar lebar seperti White

Valentine (1999), My Sassy Girl (2001), Blood: The Last Vampire (2009), The Thieves (2012) dan Assassination (2015).

Selain meraih perhatian di layar perak, aktres kelahiran Seoul dan merupakan ibu kepada dua cahaya mata itu cukup terkenal sebagai jolokan ratu romantik komedi.

Lebih sedekad menumpukan perhatian terhadap kemunculan dalam filem, wanita itu kemudian mengubati kerinduan peminat dalam skrin kecil menerusi drama My Love From The Star (2013-2014).

SELEPAS menangkap tumpuan peminat menerusi Ashin of The North, Ji-hyun bakal muncul dengan sebuah lagi naskhah yang dinanti-nantikan ramai peminat iaitu drama Cliffhinger terbitan tvN yang akan ditayangkan Oktober depan.

Pesona

Selepas 14 tahun, kemunculan semula Ji-hyun menerusi dalam televisyen mencuri tumpuan luar biasa peminat.

Selain faktor bergandingan dengan aktor kacak Kim Soo-hyun, peranan wataknya selaku artis popular dalam drama tersebut cukup memukau.

Dua tahun selepas mencipta fenomena menerusi drama berkenaan, Ji-hyun tidak menunggu lama untuk mengekalkan momentum popularitinya apabila sekali lagi muncul menerusi drama Legend of The Blue Sea pada 2016.

Naskhah gandingan bersama aktor Lee Min-ho tersebut mengulang fenomena sama. Pada tahun tersebut, Ji-hyun menempatkan diri di tangga kesembilan dalam senarai 10 artis terbaik Gallup Korea yang menyaksikan dirinya merupakan satu-satunya pelakon wanita yang tercalon.

Dua dekad berada di laluan populariti, aktres yang turut dikenali dengan nama Inggeris sebagai Gianna Jun itu membuktikan momentum dan kehandalan permainannya di hadapan kamera sentiasa ditagih.

Jika menerusi skrin kecil dia terkenal dengan aksi lucu dan bersahaja, namun aktres serba boleh itu menonjolkan sisi pesona cukup berbeza dalam Ashin of The North.

JI-HYUN menyerlahkan pesonanya sebagai pemikul beban kesedihan dan kesengsaraan yang dikhianati serta kehilangan orang tersayang akibat konflik peperangan dalam Ashin of The North.

Memikul watak Ashin yang berada dalam kegelapan dan menanggung kesakitan sendirian, pujian melangit dicurahkan peminat terhadap Ji-hyun atas kualiti persembahan lakonannya yang mencengkam jiwa.

“Berpeluang menyertai dalam siri yang paling saya sukai, ada tekanan tersendiri yang saya alami.

“Tetapi personaliti saya adalah mampu bekerja lebih baik di bawah tekanan, jadi saya dapat merasakan tekanan tersebut sebagai sesuatu yang positif,” ujar aktres yang dua kali pernah memenangi anugerah berprestij Baeksang Awards itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI