JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak perempuan berdepan detik hitam dalam hidupnya selepas dipercayai menjadi mangsa rogol dalam kejadian di sebuah rumah kebajikan di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 3.17 petang.
Menurutnya, laporan kejadian itu dibuat oleh seorang penjaga rumah kebajikan susulan aduan daripada mangsa yang berusia 11 tahun.
“Pada 24 Julai lalu, pukul 3.17 petang, polis menerima laporan polis daripada seorang penjaga rumah kebajikan di daerah Johor Bahru melaporkan terdapat seorang kanak-kanak perempuan yang tinggal di rumah kebajikan telah dirogol.
“Susulan laporan itu, seorang lelaki berusia 40-an telah ditahan Ahad lalu di sekitar Johor Bahru,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Padzli berkata, suspek direman selama tujuh hari sehingga 1 Ogos depan untuk membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.- K! ONLINE.