MANCHESTER – Pemain pertahanan Manchester United, Eric Bailly mengakui bimbang mengenai masa depannya selepas kelab itu dilaporkan hampir berjaya mendapatkan khidmat Raphael Varane.
United ketika ini dilaporkan berada pada fasa terakhir rundingan bersama Real Madrid dan telahpun bersetuju dengan nilai perpindahan Varane yang bernilai £41 juta (RM240.80 juta).
Bailly berdepan siri kecederaan berulang sejak beberapa musim lalu menyebabkan prestasinya tidak menentu termasuk hanya membuat 10 penampilan pada aksi Liga Perdana Inggeris musim lalu.
Mengikut laporkan, pemain antarabangsa Ivory Coast itu sedikit bimbang mengenai peluangnya untuk beraksi dalam kesebelasan utama menjadi lebih terhad dengan kehadiran Varane nanti.
Katanya, dia mungkin terpaksa mencari peluang dan mengintai potensi perpindahan ke kelab lain sekiranya peranannya tidak lagi diperlukan di Old Trafford biarpun masih mempunyai baki kontrak sehingga 2023.
“Persaingan adalah sesuatu yang baik untuk meningkatkan persembahan. Saya tiada masalah untuk kekal di sini jika masih diberikan peluang untuk terus beraksi.
“Saya tidak mahu diberikan peluang sekali beraksi, kemudian diletakkan di bangku simpanan dalam lima perlawanan selepas itu.
“Jika perkara itu berlaku, saya mungkin perlu mencari jalan lain. Saya bersedia dengan kontrak baharu tetapi jika tidak diberikan peluang bermain, saya mungkin perlu mendengar tawaran lain,” kata Bailly. – AGENSI