fbpx

Kelantan FC gigit jari di laman sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mario Arques (kanan) cuba melepasi tonggak pertahanan PDRM FC pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu sebentar tadi.

KOTA BHARU – Kelantan FC gagal meraih mata penuh selepas tumpas 1-2 di tangan PDRM FC pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV di sini sebentar tadi.

Dalam perlawanan itu, skuad The Red Warriors (TRW) dikejutkan dengan jaringan pembukaan pelawat pada minit ke-26 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh kapten PDRM FC, Lazarus Kaimbi.

Sepakan itu diberikan pengadil selepas tonggak pertahanan tuan rumah, Che Mohamad Safwan Hazman Che Hassan menjatuhkan Alvaro Cuello dalam kotak penalti.

Pada babak kedua, TRW kembali mengikat kedudukan menjadi 1-1 pada minit ke-49 menerusi sepakan percuma kapten pasukan, Mario Arques yang berjaya membelah benteng pelawat sekali gus melepasi jangkauan penjaga gawang, Muhd. Asri Muhamad.

Kelantan FC terus melakukan asakan untuk menambah jaringan, namun rembatan Mohamad Hafizan Ghazali berjaya dihadang oleh pertahanan pelawat pada minit ke-61.

Peluang TRW menambah jaringan hadir pada minit ke-74 apabila rembatan pemain import dari Indonesia, Nataneal Ringo terkena tiang gol meskipun Muhd. Asri sudah tertewas.

Bagaimanapun, pemain gantian PDRM FC, Bruno Suzuki membunuh sisa-sisa perjuangan TRW apabila meledak jaringan kedua pada minit ke-83.

Keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan sekali gus memberi tiga mata buat pasukan pelawat. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI