Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
PUTRAJAYA – Seorang lelaki bergelar Datuk bersama dua individu lain ditahan reman bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan projek pembalakan bernilai lebih RM27 juta, lima tahun lalu.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Majistret menetapkan Datuk berusia 73 tahun yang juga bekas ahli lembaga syarikat itu direman tiga hari bermula hari ini hingga Ahad ini.
Manakala, dua lagi individu yang juga pengarah syarikat berusia 39 dan 57 tahun itu pula direman empat hari sehingga Isnin ini.
Menurut sumber, mereka ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, petang semalam.
“Mereka ditahan atas kesalahan memberi dan menerima rasuah berjumlah RM3 juta,” katanya.
Katanya, penahanan dibuat berhubung pengambilalihan projek pembalakan seluas 6,591.67 ekar di salah satu daerah di negeri Pahang pada 2015.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan tersebut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – K! ONLINE