fbpx

Penduduk bimbang orang Bukit Malut lari ke Kuala Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADUN Kuala Perlis, Nor Azam Karap (kiri) mendengar aduan penduduk mengenai cubaan individu luar cuba menyusup masuk melalui muara Kuala Perlis, Isnin lalu.

KUALA PERLIS – Penduduk Kuala Perlis menyuarakan kebimbangan dan dalam keadaan berjaga-jaga dengan kemungkinan penghuni penempatan Bukit Malut di Langkawi dekat sini cuba meloloskan diri ke kawasan itu menerusi jalan laut.

Kawasan penempatan Bukit Malut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula semalam hingga 9 Ogos depan susulan penularan Covid-19 bagi Kluster Dah Bukit.

Terdapat 11 buah kampung di sepanjang muara Kuala Perlis sejauh 1.5 kilometer tersebut antaranya Kampung Bahagia, Kampung Hujung Tanjong, Kampung Pulau Ketam dan Kampung Tanah Baru.

Penduduk Kampung Bahagia, Suhalan Yusof, 47, berkata, penduduk kampung mengesan sebuah sampan tanpa nombor pendaftaran cuba mendarat di jeti kampung tersebut kira-kira pukul 10 pagi, Isnin lalu.

Katanya, mereka bertindak menghalang bot itu daripada mendarat apabila melihat lima lelaki di dalam sampan berkenaan bukan penduduk tempatan.

“Kami kenal penduduk kampung ini dan juga jenis sampan digunakan dan mereka adalah orang luar.

“Penduduk kampung bimbang jika ada orang luar yang datang ke sini kerana dikhuatiri membawa virus Covid-19. Jika berlaku jangkitan, ia amat berbahaya kerana kedudukan rumah di sini rapat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, dia berkata, bagi memastikan tiada orang luar yang cuba lolos masuk ke kawasan kampung, penduduk di situ membuat rondaan 24 jam.

Penduduk kampung sama, Rosli Samad, 63, berkata, kehadiran orang luar dari zon merah juga boleh mengancam keselamatan penduduk di Kuala Perlis.

“Kalau boleh kami tidak mahu mereka terlepas ke sini kerana ia boleh membahayakan keselamatan penduduk kampung di sini,” katanya. – K! ONLINE.

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI