fbpx

24 lelaki Indonesia didenda RM2,000 berkumpul pada Aidiladha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Sesyen Majistret Selayang.

SELAYANG – Padah berhimpun menikmati jamuan hari raya Aidiladha di sebuah rumah minggu lalu, seramai 24 lelaki warga Indonesia didenda masing-masing RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nor Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman denda itu terhadap mereka, selepas kesemuanya mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan.

Sekiranya jumlah denda itu gagal dibayar, mereka boleh dipenjara selama tiga bulan dan kesemuanya membayar jumlah denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka yang berusia antara 21 hingga 47 tahun didapati telah melanggar arahan Ketua Pengarah Kesihatan dengan berkumpul tanpa kebenaran pihak berkuasa di sebuah unit rumah kedai Jalan SU 10 Taman Selayang Utama Batu Caves di sini pukul 10 pagi, pada 20 Julai lalu.

Berikutan itu, kesemua mereka didakwa melanggar Peraturan 10(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 P.U (A) 293/2021 yang berkuat kuasa mulai 5 Julai 2021 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 17(1) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi kesalahan itu ialah denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu semasa prosiding kesemua tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisak Hassni memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira mereka berkumpul pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain keadaan rumah yang sempit.

Sementara itu empat lagi tertuduh berusia 24 hingga 36 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama dan mahkamah menetapkan 7 Oktober ini bagi sebutan semula kes.

KOSMO! Online 20 Julai lalu melaporkan
Kegembiraan 30 warga asing dan seorang wanita tempatan menikmati jamuan hari raya di sebuah rumah diserbu polis di sebuah kediaman di Taman Selayang Utama, Batu Caves, di sini.

Individu yang berumur antara 20 hingga 40 tahun itu diperiksa dan ditahan ketika serbuan dilakukan di kediaman itu sekitar pukul 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, serbuan dilakukan sebaik polis menerima maklumat daripada penduduk di kawasan berdekatan. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI