KEMAMAN – Hati keluarga Azzhar Ali, 41, remuk apabila berhadapan ujian getir dua ahli keluarga meninggal dunia berturut-turut dalam tempoh enam hari akibat Covid-19.
Mereka juga sekadar mampu memerhati van jenazah yang membawa ahli keluarga mereka melintasi halaman rumah di Felda Neram 2 dekat sini dengan linangan air mata dan kiriman doa sebagai penghormatan terakhir.
Azzhar berkata, bapanya, Ali Mohamad, 70, meninggal dunia pada hari pertama Aidiladha pada Selasa minggu lalu sebelum disusuli kakaknya, Alinda, 57, kelmarin.
“Sebelum ini, kakak (Alinda) dan ayah (Ali) yang tinggal serumah diarahkan menjalani ujian saringan setelah suami kakak dikenalpasti sebagai kontak rapat rakan sekerja positif Covid-19 di sebuah kilang kelapa sawit.
“Abang ipar saya, Saadon Abdul Rashid, 53, ketika itu disahkan negatif Covid-19 tetapi tahap kesihatan ayah yang mempunyai rekod penyakit tiga serangkai (diabetes, tekanan darah tinggi dan jantung) pula merosot sebelum meninggal dunia beberapa hari kemudian. Pemeriksaan kemudiannya mengesahkan ayah positif (Covid-19),” katanya ketika ditemui Kosmo! di Felda Neram dekat sini hari ini.
Azzhar berkata, tambah memilukan keluarganya, kakaknya, Alinda pula disahkan positif Covid-19 pada hari kematian bapanya itu pada 20 Julai lalu.
Tambahnya, tidak lama kemudian, Alinda yang merupakan anak kedua daripada lapan beradik telah dikejarkan ke Hospital Kemaman di sini kerana mengalami pendarahan pada pangkal rahim sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terenggaanu.
“Sedih kakak pergi (meninggal dunia) sewaktu suaminya (Saadon) dan salah seorang anak perempuannya yang juga positif Covid-19 sedang menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Kem Wawasan, Besut dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara Mak Lagam di sini,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929