LOS ANGELES – Pasangan selebriti terkenal Ashton Kutcher dan Mila Kunis mengaku jarang mandi dan hanya membersihkan bahagian alat sulit mereka setiap hari.
Menerusi satu pendedahan yang dibuat dalam program podcast Armchair Expert baru-baru ini, Kunis memberitahu bahawa dia dan suaminya juga jarang menyuruh dua orang anak mereka, Wyatt, 6 dan Dimitri, 4, untuk mandi.
“Saya membesar tanpa alat pemanas air di rumah, maka saya memang jarang mandi. Saya juga bukan seorang ibu yang akan memandikan anak-anak,” kata Kunis.
Bahkan, pelakon yang pernah membintangi filem Black Swan itu juga mendedahkan bahawa dia hanya akan mencuci muka sebanyak dua kali sehari.
Sementara itu, Kutcher pula berkata, mereka hanya membersihkan bahagian yang terkena kotoran jika perlu.
“Kalau nampak ada kotoran pada anak-anak, kami akan bersihkan. Mereka tidak perlu mandi,” katanya.
Menurut Kutcher lagi, dia hanya menggunakan air untuk membersihkan wajah walaupun selepas melakukan aktiviti kecergasan.
“Saya hanya akan membersihkan bahagian ketiak dan celah kangkang saja, tempat lain tak perlu. Walaupun selepas bersenam, saya hanya akan basuh muka untuk buang sisa peluh,” katanya.
Bahkan Kunis dan Kutcher juga berkata, besar kemungkinan kedua-dua anak mereka juga akan membesar dengan gaya hidup yang sama. – K! ONLINE