PETALING JAYA – Penulis lirik terkenal, Datuk Habsah Hassan dilaporkan kini sedang dirawat di salah sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara selepas disahkan posirif Covid-19.
Difahamkan, Habsah, 71, dikejarkan ke hospital semalam selepas mengalami masalah kesukaran bernafas.
Penulis lirik lagu Salam Terakhir dendangan Allahyarham Sudirman itu diberitahu telah menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan beberapa hari lalu, namun doktor yang memeriksanya mendapati terdapat sesuatu yang tidak kena pada organ paru-parunya.
“Saya alami batuk berpanjangan dan sakit mata. Selepas melakukan ujian calitan, saya telah disahkan positif Covid-19.
“Disebabkan saya juga mengalami masalah pernafasan, saya membuat keputusan untuk dirujuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” ujarnya.
Habsah yang telah menulis lebih 1,000 lirik lagu juga dimaklumkan telah diberi bantuan oksigen oleh doktor.
Selain Habsah, suaminya, Mohamed Jusoh juga didakwa telah dijangkiti Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Pada masa sama, Habsan reda diuji dengan wabak berkenaan walaupun mendakwa dia sudah lama tidak keluar rumah dan bertemu dengan orang.
“Saya reda Allah SWT berikan saya ujian ini. Semoga sahabat-sahabat dapat mendoakan saya sekeluarga diberi kesembuhan,” katanya.
Usaha Kosmo! Online untuk mendapatkan responds daripada Habsah menerusi pesanan WhatsApp dan panggilan telefon bagaimanapun tidak berhasil. -K! ONLINE