fbpx

‘Mak cik gelang pink’ dihukum penjara sehari, denda RM8,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh, Nur Emah Mohamad dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.

IPOH – Padah ingkar arahan perintah pengawasan dan pemerhatian untuk kuarantin diri di rumah koronavirus (Covid-19), seorang wanita warga emas dijatuhi hukuman penjara selama sehari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nabihah Mohd. Noor menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh, Nur Emah Mohamad Hashim, 72, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Nur Emah yang memakai jubah serba hitam dilihat tertunduk dan menangis ketika hukuman terhadapnya dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian seperti yang diarahkan Pegawai Diberi Kuasa, Syarifuddin Abu Bakar pada pukul 5.30 petang 4 Julai lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Dia didakwa ingkar arahan tersebut di Hanaz Cafe, Halaman Meru Permai di sini pada pukul 8 pagi 6 Julai lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawasan Penyakit Berjangkit 1988 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24(a) akta sama yang boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Ahmad Fakurazi Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Ahmad Fakurazi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Nur Emah dalam rayuannya memohon agar hukuman diringankan memandangkan suaminya baru sahaja meninggal dunia.

Nabihah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama sehari bermula hari ini dan denda RM8,000. Jika tertuduh gagal membayar denda, dia akan dikenakan penjara tambahan selama enam bulan. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Mengikut fakta kes, Jabatan Kesihatan Perak menerima aduan berhubung satu keping gambar viral di media sosial mengenai seorang wanita memakai gelang perintah pengawasan di rumah yang tidak berada di alamat yang diperintahkan selain keluar makan di sebuah restoran di Meru Raya.

Hasil siasatan mendapati wanita berkenaan merupakan orang kena perintah pengawasan dan pemerhatian bermula 4 hingga 18 Julai namun dia telah ingkar arahan apabila keluar makan di Hanaz Cafe pada 6 Julai lalu.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI