PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) tidak membuat sebarang perolehan kepada mana-mana pihak atau syarikat berhubung pengeluaran kad vaksinasi sepertimana yang dilaporkan portal Yahoo News.
KKM dalam satu kenyataan berkata, laporan berita itu yang mendakwa bahawa kad vaksinasi tersebut dikeluarkan oleh pihak kementerian adalah tidak benar.
Kenyataan itu menjelaskan bahawa, kad vaksinasi dan kod QR yang digunakan dalam sidang akhbar pada 17 Mac 2021 itu adalah hanya sampel reka bentuk kad vaksinasi untuk ditunjukkan kepada wartawan dan jurugambar.
“Buat masa ini, sijil digital vaksinasi untuk mereka yang telah lengkap dua dos vaksin boleh diakses menerusi aplikasi MySejahtera,” katanya di sini hari ini.
Sehubungan itu, KKM berkata, pihaknya menyarankan mana-mana pihak agar tidak berkongsi atau menyebarkan berita tersebut kerana boleh memberi gambaran salah seolah-olah KKM telah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk mengeluarkan kad vaksinasi. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929