PERENANG Great Britain, Tom Dean mendedahkan, dia pernah mengalami jangkitan Covid-19 sebanyak dua kali selepas muncul atlet pertama negara itu menjuarai acara gaya bebas dalam tempoh 113 tahun.
Atlet berusia 21 tahun itu pada mulanya mungkin tidak mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas dijangkiti Covid-19 pada September tahun lalu sebelum sekali lagi ‘diserang’ virus sama awal Januari lalu.
Bagaimanapun, Dean sempat pulih sepenuhnya untuk temasya Tokyo 2020 sebelum dia menampilkan ‘renangan bersejarah’ dengan memenangi pingat emas 200 meter (m) gaya bebas di Pusat Akuatik Tokyo hari ini.
“Saya dijangkiti Covid-19 sebanyak dua kali dalam tempoh 12 bulan terakhir. Kali pertama tidaklah begitu teruk tetapi serangan kedua betul-betul sakit dan teruk.
“Saya mengasingkan diri dalam tempoh dua hingga tiga bulan sebelum pemilihan Olimpik pada April lalu. Ia tidaklah mengancam nyawa tetapi sudah tentu saya amat bimbang dengan keadaan dan masa depan saya.
“Saya tak dapat buat apa-apa kerana hanya terkurung dalam pangsapuri sendiri. Jadi, saya fikir pingat emas Olimpik adalah berjuta-juta batu jauhnya daripada genggaman saya,” kata Dean.
Namun, siapa sangka dua kali dijangkit Covid-19 masih berupaya mencatatkan satu minit 44.22 saat (s) untuk meraih pingat emas dengan kemenangan dramatik ke atas rakan senegaranya, Duncan Scott di tempat kedua dengan masa 1:44.26s.
Pingat gangsa pula dimenangi perenang Brazil, Fernando Scheffer dengan catatan 1:44.66 yang merupakan rekod baharu benua Amerika Selatan. – AGENSI