PETALING JAYA – Kerajaan Negeri Perak telah melantik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) menerusi subsidiarinya, Majuperak Holdings Bhd. (MHB) untuk mengetuai pembelian vaksin bagi Program Vaksin Perak (PVP).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MHB, Nizran Noordin berkata, pihaknya akan menyokong usaha kerajaan negeri dalam mempercepat proses vaksinasi untuk rakyat demi mencapai imuniti kelompok dengan meningkatkan pengedaran vaksin kepada kumpulan sasaran.
“Melalui PVP MHB yang dikenali sebagai SilverVax, bekalan vaksinasi akan disediakan kepada syarikat swasta bagi tujuan vaksinasi buat kakitangan syarikat dan keluarga mereka.
“Syarikat swasta yang disasarkan ini adalah syarikat kecil, sederhana dan besar dalam industri pembuatan, perladangan, perkhidmatan dan hartanah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Nizran, MHB telah menandatangani Perjanjian Bekalan dan Pengedaran dengan Pharmaniaga Lifescience Sdn. Bhd., anak syarikat Pharmaniaga Berhad baru-baru ini untuk pembekalan vaksin Sinovac.
“MHB telah melantik dan memberi kuasa kepada Hospital Ar-Ridzuan sebagai pengedar bagi pihak MHB di negeri Perak,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif MHB dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, penting bagi pihaknya untuk memastikan bahawa tenaga kerja di negeri Perak mencapai sasaran 40 peratus kadar vaksinasi.
“Selain Sinovac, MHB dan EB Holdings Sdn. Bhd. sedang mengatur perincian untuk mendapatkan vaksin Sinopharm daripada Duopharma Biotech Berhad bagi memastikan bekalan yang mencukupi dan berterusan dalam hasrat mencapai imuniti kelompok.
“Perolehan vaksin Sinopharm ini tertakluk kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19, seiring dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya.