PETALING JAYA – Sidang Khas Parlimen yang bermula semalam, selain keputusan kerajaan untuk tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya menyambung Proklamasi Darurat dianggap sebagai satu langkah bagi mengembalikan keyakinan rakyat, peniaga dan pelabur.
Penganalisis Ekonomi dan Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, selepas langkah darurat dilihat kurang berjaya, kerajaan cuba mengubah strategi dan kembali mengamalkan konsep keterbukaan untuk memulihkan kepercayaan rakyat.
“Apa yang kita nampak sejak pelaksanaan darurat dari awal tahun 2021, ia tidak mampu memberikan sebarang impak ketara yang mampu membawa ke arah pemulihan ekonomi.
“Kali ini kerajaan mungkin cuba menggunakan kaedah lain. Saya lihat dalam tiga bulan akan datang, kerajaan dijadualkan membuat tiga pengumuman penting.
“Ia terdiri daripada kenyataan pra-bajet pada Ogos, pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada September dan seterusnya, Bajet 2022 pada Oktober.
“Tempoh tiga bulan ini amat kritikal bagi kerajaan untuk cuba menarik kembali sokongan rakyat, peniaga dan pelabur,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hasan di Parlimen semalam memaklumkan keputusan menamatkan darurat telah diputuskan pada 21 Julai lalu.
Menurut Ahmed Razman, langkah kerajaan diharapkan dapat memberi gambaran dan hala tuju yang jelas mengenai polisi dan strategi kerajaan untuk membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19.
“Pelbagai pakej rangsangan kerajaan sebelum ini adalah bersifat reaktif, kerajaan perlu membentangkan strategi yang lebih proaktif dalam memulihkan ekonomi.
“Ini peluang kerajaan untuk membentangkan pelbagai dasar yang tertangguh sebelum ini,” ujarnya.