fbpx

Jemaah luar tunai umrah 9 Ogos ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jemaah Haji mengerjakan tawaf perpisahan di Kaabah, Mekah pada 22 Julai 2021 – AFP

MEKAH – Kira-kira 500 buah syarikat perkhidmatan umrah dan lebih 6,000 ejen umrah asing bersiap sedia untuk menerima jemaah antarabangsa yang sudah lengkap divaksin bermula 9 Ogos ini, lapor akhbar Saudi Gazette kelmarin.

Ahli Jawatankuasa Nasional Haji dan Umrah, Hani Ali Al-Amiri berkata, jemaah yang berhasrat ke Tanah Suci itu boleh menempah pakej umrah yang ditawarkan dan membuat pembayaran melalui 30 laman web dan platform elektronik yang disediakan untuk tempahan global.

Permohonan visa pula hanya boleh dilakukan oleh mereka yang sudah menerima vaksin lengkap.

Menurutnya, bagi memastikan keselamatan para jemaah, calon umrah perlu berada dalam keadaan sihat dan mematuhi protokol yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Hani berkata, semua perkhidmatan dan pakej online boleh didapati menerusi platform tempahan global dan tempatan yang mendapat kelulusan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi melalui sistem kumpulan B2B (perniagaan ke perniagaan) atau B2C (perniagaan ke pengguna).

Syarikat umrah Saudi pula menawarkan pakej perumahan, pengangkutan dan semua per­khidmatan lain yang berkaitan.

“Jemaah boleh memilih syarikat penyedia perkhidmatan umrah dan membeli pakej termasuk penerbangan, pengangkutan, hotel dan makanan menerusi platform elektronik,” katanya.

Beliau memberitahu, beberapa syarikat penyedia pakej umrah yang berkelayakan kini bersiap sedia termasuk menyelesaikan semua kursus pencegahan wabak dan pengurusan untuk kakitangan masing-masing.

“Selebihnya adalah proses menyelesaikan prosedur yang ditentukan Kementerian Haji dan Umrah dan pihak berkuasa berkaitan,” ujar Hani.

Semua negara dibenarkan menghantar penerbangan terus melainkan sembilan negara iaitu India, Pakistan, Argentina, Brazil, Afrika Selatan, Indonesia, Turki, Lebanon dan Mesir.

Semua jemaah umrah dari negara terbabit perlu menjalani kuarantin selama 14 hari di negara ketiga sebelum tiba di Arab Saudi.

Syarat mandatori bagi mereka yang mahu mengerjakan umrah pada tahun ini adalah perlu menerima pelalian lengkap dua dos sama ada vaksin Pfizer, Mo­derna, AstraZeneca atau John­son & Johnson.

Kerajaan Arab Saudi turut membenarkan jemaah yang di­suntik vaksin buatan China, namun mereka perlu mendapatkan dos ketiga sama ada vaksin ­Pf­izer, Moderna, AstraZeneca atau Johnson & Johnson.

Mereka yang mahu mengerjakan umrah juga perlu berumur 18 tahun dan ke atas.

Sementara itu, Mohsin Tutla yang merupakan pengerusi Yayasan Penjagaan Haji dan Umrah Sedunia berkata, kedatangan jemaah ke Tanah Suci akan me­latih industri tersebut dalam menyediakan perkhidmatan yang bersesuaian dengan situasi pandemik.

Tambahnya, pengenalan terhadap teknologi kewaspadaan sepanjang ibadah umrah berserta langkah-langkah tambahan dapat membantu melancarkan proses umrah.

“Haji dan umrah dahulunya tersedia dan mudah bagi sebilangan besar populasi terutamanya kelas pertengahan, namun kini menjadi sesuatu yang mampu bagi golo­ngan kaya atau mereka yang sudah lama menabung,” katanya.

Mohsin turut menjelaskan perjalanan untuk memulihkan industri itu tidak hanya terletak pada permintaan, namun bergantung kepada perkembangan mekanisme keselamatan global seperti Koridor Keselamatan Haji dan Umrah yang kini diperluaskan oleh Yayasan Haji dan Umrah Dunia ke 25 negara di seluruh dunia. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI