PENANTIAN pemain badminton perseorangan wanita negara, Soniia Cheah bakal berakhir apabila turun menentang pemain Hungary, Laura Sarosi dalam Kumpulan A Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Musashino Forest Sports Plaza hari ini.
Kata Soniia, sejak lapan tahun lalu, dia berdepan laluan cukup berliku untuk menjejakkan kaki buat kali pertama ke Sukan Olimpik.
Hasratnya untuk beraksi ke Olimpik hampir berkubur apabila dia mengalami kecederaan tendon Achilles yang serius pada 2013 sehingga memaksanya berehat panjang.
Jelas Soniia, 28, dia juga pernah bergantung kepada penggunaan kerusi roda selama enam bulan bagi memudahkannya bergerak sehingga menyebabkan dia terfikir untuk menggantung raket.
“Adakah saya buat persiapan selama lima tahun untuk Olimpik? Tidak, saya sudah berlatih dan menunggu selama lapan tahun untuk realisasikan impian beraksi di Olimpik.
“Bagi saya, keputusan yang dibuat sangat sukar kerana tidak tahu sama ada ia boleh berjaya ataupun tidak. Bagaimanapun, saya berikan segala-galanya demi cita-cita ini.
“Saya sangat bertuah kerana memiliki keluarga dan rakan-rakan yang sangat memahami dan sentiasa memberikan sokongan walaupun ada berpendapat ia tidak berbaloi. Bagi saya, badminton adalah hidup saya,” jelasnya.
Meskipun tidak diletakkan harapan tinggi pada Olimpik kali ini, namun Soniia tetap berpeluang untuk melangkah ke pusingan kalah mati sekiranya menewaskan Sarosi serta bekas juara dunia dari Thailand, Ratchanok Intanon dalam saingan peringkat kumpulan.