LISBON – Gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) mencipta sejarah baharu apabila mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh 25 tahun sejak kali terakhir melakukannya pada musim 1995-1996.
Ia sekali gus menamatkan badi juara sembilan kali Ligue 1 itu yang terkandas empat kali pada suku akhir dari 2012 hingga 2015 dan tiga kali di pusingan 16 terbaik (2016-2018) sepanjang tujuh penampilan terakhir Liga Juara-Juara.
Kemenangan 2-1 ke atas Atalanta dalam aksi suku akhir di Estadio da Luz awal pagi semalam membolehkan PSG mengubati kekecewaan dimalukan Barcelona pada 2017 dan Manchester United tahun lalu.
Lebih menarik, tiada mana-mana peminat menjangka bekas penyerang kelab bawahan England, Stoke City iaitu Eric Maxim Choupo-Moting akan menjadi wira apabila meledak gol kemenangan PSG dalam perlawanan tersebut.
Bintang PSG, Neymar memuji kesungguhan dan semangat juang tinggi ditunjukkan rakan-rakan sepasukannya walaupun terlebih dahulu ketinggalan satu gol dalam babak pertama menerusi jaringan pemain tengah Atalanta, Mario Pasalic.
Penyerang Brazil itu menyifatkan keinginan tinggi mereka untuk menang berjaya menghasilkan kemenangan dalam tempoh dua minit terakhir menerusi dua gol daripada Marquinhos dan Choupo-Moting pada minit ke-90 serta 93.
“Kami langsung tidak terfikir akan tersingkir dan pulang ke Paris dengan tangan kosong. Sebaliknya, semua pemain tetap dengan mentaliti mereka mahu bermain di pentas final.
“Kami sangat gembira dengan apa yang telah kami raih malam ini (awal pagi semalam). Sekarang kami akan menunggu cabaran seterusnya dan saya harap kejayaan seperti ini berterusan buat PSG,” kata Neymar. – AGENSI