PUTRAJAYA – Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Maya sudahpun diaktifkan untuk kemudahan para pesakit positif wabak itu di sekitar Lembah Klang yang berstatus ringan atau tiada gejala.
Ketua Pasukan Bertindak Khas Lembah Klang Raya, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Chong Chee Kheong berkata, ia juga mampu mengurangkan isu kesesakan di semua CAC.
“Justeru, semua pesakit berisiko rendah atau tiada simptom diminta tidak datang ke CAC dan menjalani pengasingan secara kendiri di rumah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Penubuhan CAC Maya itu diumumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba minggu lalu susulan tular video melalui media sosial memaparkan ramai terpaksa berbaris panjang termasuk ada kalangan pesakit terbabit pitam atau pengsan kerana beratur menunggu giliran begitu lama terutama golongan wanita dan warga emas yang rentan ketika cuaca amat panas terik.
Bahkan penduduk kawasan perumahan yang berhampiran CAC itu turut membantah keadaan tersebut apabila berlaku kesesakan trafik dan kebimbangan penularan virus secara sporadik.
Mengulas lanjut, Chee Kheong berkata, pesakit kumpulan terbabit hanya perlu memuat turun aplikasi MySejahtera untuk melaporkan keputusan ujian positif Covid-19 yang diterima mereka.
“Mereka juga mendapat perintah pemantauan di rumah (HSO) secara digital tanpa perlu lagi gelang warna merah jambu yang menunjukkan arahan sah dari segi perundangan,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929