fbpx

Dua kluster ziarah raya dikesan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Dua kluster komuniti melibatkan aktiviti ziarah-menziarahi sempena musim perayaan dikesan di Kulai, Johor dan Pasir Mas, Kelantan dengan masing-masing merekodkan lima dan 39 kes positif Covid-19 setakat ini.

Lampiran rumusan kluster yang disertakan dengan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan menyebut, kluster terbabit ialah Kluster Teratai Kulai di Kulai dan Kluster Lorong Yusof Bongsu di Pasir Mas.

Menurut rumusan kluster itu, kes indeks Kluster Teratai Kulai ialah wanita 49 tahun yang dilaporkan positif pada 24 Julai lalu hasil saringan individu bergejala.

“Kes terdahulu menunjukkan gejala pada 16 Julai lepas. Kluster ini melibatkan aktiviti ziarah-menziarahi di Jalan Teratai, Kampung Separa, Kulai sempena majlis sambutan perayaan,” katanya.

Sementara itu, kes indeks Kluster Lorong Yusof Bongsu iaitu lelaki berumur 29 tahun mula bergejala pada 19 Julai lalu sebelum dilaporkan positif pada 24 Julai hasil saringan individu bergejala.

“Kluster ini melibatkan aktiviti ziarah di Lorong Yusof Bongsu, Kampung Atas Pinggir, Pasir Mas sempena majlis sambutan perayaan,” katanya.

Dalam pada itu, seorang warga emas yang mempunyai sejarah merentas negeri dari Melaka ke Kuala Lumpur pada 7 Julai lalu mencetuskan Kluster Lorong Haji Lamat di Melaka Tengah, Melaka dengan 22 kes positif setakat ini.

Menurut rumusan itu, kes indeks iaitu seorang wanita berusia 65 tahun dilaporkan positif pada 17 Julai lalu hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi.

“Kes mempunyai sejarah perjalanan merentas negeri dari Melaka ke Kuala Lumpur pada 7 Julai lepas.

“Nama kluster ini merujuk kepada lokaliti di mana penularan kes-kes dilaporkan berlaku iaitu di Lorong Haji Lamat, Kampung Pendamar, Simpang Ayer Molek, Melaka Tengah,” katanya. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI