fbpx

Man Kidal tetap buat ‘show’ dalam kuarantin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAN KIDAL akan menggagahkan diri muncul dengan persembahan dalam Garasi TV malam ini.

PETALING JAYA: Disahkan positif Covid-19 sejak lapan hari lalu tidak menghalang maestro gitar, Man Kidal untuk menunaikan janji membuat persembahan langsung menerusi Fcebook, pukul 9 malam ini.

Menurut isterinya, Noorlaila Yusof, Man Kidal sebenarnya masih lemah namun semangat untuk berkongsi muzik serta luahan hati mengatasi segala-galanya.

“Sebenarnya hujung minggu lalu Abang Man (Man Kidal) sepatutnya muncul dalam siaran langsung menerusi Garasi TV untuk memperkenalkan single baharu bersama Hillary Ang, Revival.

“Rancangan itu dibawa ke malam ini yang turut disertai rakan seperjuangannya, Hillary apatah lagi mereka sudah mula mengadakan latihan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 diumumkan.

“Doakan semoga perancangan yang tertunda ini berjalan lancar. Sebagai isteri saya tahu Abang Man teruja menunggu buah tangan yang diusahakan ini dapat menemui pendengar.

“Sudah lama dia dan Hillary menunggu saat ini. Hampir dua tahun mereka mengusahakan projek ini, sudah tentu ia sesuatu yang sentimental,” katanya kepada Kosmo! Online.

Terdahulu, keadaan Man Kidal atau nama sebenar Abdul Rahman Mahmood, 57, yang melalui kesukaran selepas tidak bekerja sejak negara dilanda pandemik Covid-19 mengundang kejutan ramai.

Hanya bergantung kepada wang simpanan selepas tiada pendapatan selain bisnes gulung tikar membuatkan pemain gitar legenda kumpulan Lefthanded itu terpaksa menjual kereta demi kelangsungan hidup.

Ditanya lagi mengenai tahap kesihatan Man Kidal, Norlaila berkata berbanding semalam, keadaannya tampak agak cergas dan mula berselera makan.

“Mungkin hilang deria rasa buatkan Abang Man enggan menjamah makanan hingga membuatkannya lemah. Walaupun saya turut berdepan gejala sama, saya kena kuat dan pastikan dia makan.

“Alhamdullillah, nampak ada perubahan apabila dia sudah mula ikut nasihat, tambah-tambah menjelang tarikh persembahan malam ini. Selain mainkan lagu, Abang Man akan berkongsi pengalaman,” katanya.

Pada masa sama, ibu kepada tiga cahaya mata itu turut meluahkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menghulurkan sumbangan sebaik mengetahui kesulitan mereka.

“Terima kasih kepada individu, persatuan mahu pun wakil agensi kerajaan yang menghubungi kami bertanyakan khabar dan hulurkan sumbangan.

“Sepanjang empat dekad dalam industri Abang Man tak pernah meminta-minta tetapi kali ini, impak pandemik membuatkan kami tewas sehingga terpaksa meminta bantuan.

“Hanya terima kasih yang mampu ucapkan di atas rasa prihatin semua. Wakil Zakat Selangor juga sudah menghubungi kami. Semoga pandemik ini segera berlalu dan kita dapat bekerja semula,” tambahnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI