fbpx

Indonesia benar peniaga kecil beroperasi walaupun Covid-19 ‘menggila’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAKARTA – Kedai kecil, restoran tepi jalan dan sebilangan  pusat beli-belah dibuka semula di Indonesia  hari ini selepas pemerintah melonggarkan sekatan di sebalik amaran bahawa langkah  tersebut akan mengundang gelombang baharu Covid-19.

Presiden Joko Widodo (Jokowi) berkata, perintah berkurung  yang dilaksanakan awal bulan ini akan dilanjutkan  hingga 2 Ogos ini  walaupun varian Delta yang sangat mudah berjangkit  terus menular di negara kepulauan itu.

Indonesia kini mengatasi India dan Brazil untuk menjadi pusat pandemik global.Namun,   sekatan terhadap banyak perniagaan kecil termasuk pasar tradisional dan warung dilonggarkan sekalipun di kawasan paling teruk dilanda wabak Covid-19.

“Pelanggan boleh kembali makan di premis kami. Saya harap Jakarta pulih dengan cepat kerana ini adalah tempat kami mencari nafkah,” kata  seorang pemilik restoran makanan laut  dikenali sebagai Syaifurrohman.

Pusat beli-belah dan masjid di kawasan kurang terjejas di Indonesia juga mendapat lampu hijau untuk membuka pintu kepada orang ramai tetapi pada waktu lebih singkat.

Pejabat-pejabat  pula masih dalam perintah penutupan  walaupun terdapat laporan mengenai majikan yang melanggar peraturan tersebut.

Berpuluh-puluh  juta orang hidup ibarat kais pagi makan pagi di negara yang mempunyai sekitar  270 juta penduduk itu, menyebabkan perintah berkurung secara ketat adalah  mustahil untuk dilaksanakan.

Bagaimanapun, pentadbiran Jokowi dikritik secara meluas berhubung cara ia menangani pandemik  dan polisi yang  mengutamakan ekonomi berbanding kesihatan rakyat.

Pengumuman pemerintah semalam dibuat beberapa hari selepas Indonesia menyaksikan jumlah kematian dalam tempoh 24 jam mencecah 1,566 orang dan ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia meminta Jakarta melaksanakan sekatan lebih ketat.

Indonesia merekodkan lebih 3.1 juta kes Covid-19 dan 83,000 kematian sejak pandemik bermula tetapi angka  rasmi tersebut dipercayai jauh lebih kecil susulan  ujian saringan dan kadar pengesanan kontak yang rendah. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI