fbpx

Hargai pengorbanan anggota penguat kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

 

SYED MOHD. HAZIQUE SYED NOR
WARTAWAN EKSEKUTIF

 

KESELAMATAN di sempadan negara dilalui dengan penuh liku oleh semua anggota penguat kuasa.

Penat lelah mereka tidak mampu dibayar dengan wang ringgit.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik sebagai berkata, lebih 3,200 termasuk 2,491 migran ditahan menerusi Operasi Benteng (Ops Benteng) dari 1 Mei hingga 28 Julai.

Sebanyak 596 tekong serta 144 penyeludup selain mengusir 257 pendatang tanpa izin, sembilan tekong dan 37 bot yang terlibat dalam percubaan menceroboh sempadan negara.

Namun, sehingga 5 Ogos lalu, sebanyak 3,597 tangkapan telah dilakukan.

Jumlah itu disahkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Dr. Ismail Mohamed Said baru-baru ini.

“Daripada jumlah tersebut, penguat kuasa berjaya menahan 370 rakyat tempatan yang didapati bersubahat.

“Tangkapan ini juga melibatkan 25 penguat kuasa yang didapati menjadi petualang kepada penyeludupan pendatang asing tanpa izin,” ujarnya.

Beliau mengingatkan kerajaan tidak memandang remeh perkara tersebut.

“Ini soal melibatkan keamanan negara, mana-mana pihak yang didapati menolong dan memberi kerjasama dan didapati bersalah akan menerima hukuman yang sewajarnya,” jelasnya.

Baru-baru ini, Kosmo! berpe­luang mengikuti lima siri rondaan secara eksklusif bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia di sempadan utara negara.

Semasa Operasi dilakukan, boleh dilihat bagaimana mereka menjaga kedaulatan tanah air daripada diceroboh.

Timbalan Komander Bridged Utara PGA, Asisten ­Komisioner Mohd. Nazaruddin M. Nasir berkata, sepanjang tempoh Ja­nuari sehingga 14 Julai lalu, kira-kira 45,000 kilogram daun ketum bernilai RM3.6 juta dirampas.

Jelasnya, sebanyak 176 kes penyeludupan membabitkan seramai 55 orang penyeludup berjaya dipatahkan sepanjang laluan pintu masuk sempadan Kedah dan Perlis.

“Seramai 41 orang warganegara, manakala sebanyak 13 orang warga Thailand dan seorang warga Indonesia ditangkap.

“Kesemua warga asing terbabit menggunakan pelbagai helah dan taktik dalam modus operandi mereka serta bertindak ganas terhadap anggota keselamatan yang mengawal di pintu sempadan,” ujarnya.

Tambah Nazaruddin, bagi memastikan kawasan pagar sempadan negara terus dijaga, anggota Batalion Tiga sentiasa meronda di laluan tikus si penyeludup.

Selain pemantauan dari darat, helikopter turut digunakan bagi mengesan sebarang pergerakan penyeludup di setiap penjuru sempadan negara berkeluasan 662 kilometer itu.

“Sepanjang laluan pagar sempadan, puluhan pos keselamatan dibina oleh PGA bagi menghalang dan menidakkan sebarang aktiviti penyeludupan dilakukan,” jelasnya.

Ops Benteng dilaksanakan sejak Mei lalu di bawah National Task Force dengan kerjasama ATM, PDRM, Maritim Malaysia, Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, JIM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI